COVID-19: Keselamatan negara perlu diutamakan

RAKYAT Malaysia yang berusia 50 tahun ke bawah tidak pernah merasai pergerakan mereka terkawal atau terbatas sebagaimana Perintah Kawalan Pergerakan atau ‘Movement Control Order’ (MCO) yang sedang kita lalui sepanjang merebaknya virus COVID-19 ini.

Perintah ini menyekat dan menghadkan pergerakan rakyat sebagaimana hari-hari normal, sehinggakan ramai tidak dibenarkan bekerja mencari rezeki kecuali pekerjaan dan industri tertentu. Sekolah dan IPT ditutup dan banyak kegiatan rakyat dan ekonomi terbantut dan terganggu.

Aktiviti sosial termasuklah kenduri-kendara, perhimpunan dan aktiviti kerajaan, serta awam termasuklah parti-parti politik terpaksa ditangguhkan. Malah masjid-masjid dan surau-surau serta rumah ibadat agama lain diperintah tutup, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara. Semua ini terpaksa dilalui demi mengawal dan mengatasi virus maut ini yang sedang mengancam kehidupan dunia.

Kira-kira 50 tahun dahulu sejurus PRU ke-3, 1969, rakyat Malaysia dikenakan perintah berkurung berikutan Darurat yang diisytiharkan kerajaan akibat rusuhan kaum. Tidak seperti MCO, perintah berkurung Mei 1969 lebih drastik dengan mana-mana individu yang melanggarnya terus ditangkap. Polis dan tentera mengawal orang awam dan Parlimen digantung. Ketika itu tiada kerajaan dan negara ditadbir terus oleh Majlis Keselamatan Negara.

Advertisement

Menurut kertas putih yang dikeluarkan kerajaan punca kekacauan berlaku apabila parti-parti politik memainkan api perkauman sepanjang tempoh kempen pilihan raya. Pihak Parti Komunis Malaya (PKM) juga dikesan menangguk di air keruh dan terlibat menghasut dan mengadu-domba rakyat agar bangkit menentang kerajaan.
Ianya menjadi sejarah hitam yang cukup menyayat hati.

Namun dari suasana darurat itu akhirnya negara bangkit dengan semangat patriotik dan perpaduan yang jitu. Allahyarham Tun Abd Razak Hussien telah mengambil inisiatif menangani politik perkauman yang sengit dan ekstrem ketika itu dengan memperkenalkan Barisan Nasional yang menggabungkan kesemua parti-parti politik termasuk pembangkang sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

PAS dan Gerakan menyertai BN termasuk parti-parti dari Sabah dan Sarawak demi kepentingan negara kecuali DAP dan Pekemas pimpinan mendiang Tan Sri Dr Tan Chee Khoon.

Bermakna walaupun negara melalui detik hitam dengan rusuhan kaum dan pertumpahan darah, namun kewarasan dan kematangan semua pihak ketika itu terutama pimpinan politik dan masyarakat akhirnya telah menyatukan negara dan dari penyatuan itu lahirnya Rukun Negara yang kita junjung dan pertahankan hingga hari ini.

Dari nestapa dan dukacita kita berjaya bangkit membina negara apabila semua pihak secara jujur dan ikhlas mengenepikan perbalahan dan perbezaan serta memberi tumpuan kepada perpaduan rakyat dan negara, demi Malaysia tercinta.

Demikianlah kita mengharapkan hari ini, rakyat mematuhi MCO ini dengan memberikan kerjasama sepenuhnya pada kerajaan agar kerja-kerja memutuskan rantaian COVID-19 ini dapat dilakukan dan negara dapat kembali beroperasi seperti normal.

Memanglah sukar dan sangat mengganggu perintah kerajaan ini, tetapi ianya terpaksa dikuatkuasakan demi kebaikan semua. Kita tidak mahu virus ini terus merebak dan meragut nyawa rakyat kita yang tidak berdosa.

Saban hari pimpinan negara termasuk Yang Dipertuan Agong sendiri terbit di kaca TV merayu agar rakyat pelbagai lapisan mematuhi MCO dan memberikan kerjasama sehingga kita sama-sama dapat mengatasi ancaman ini. Dalam satu titah hariannya Yang Dipertuan Agong menyebut:

“Kita akan melalui cabaran ini bersama sebagai rakyat Malaysia sebagai satu negara.”

Atas semangat ini semua pihak perlu bangkit, pertama bersama menjayakan kesemua inisiatif kerajaan bagi menangani wabak ini dan keduanya bersama membantu memulihkan kembali kehidupan harian dan ekonomi negara yang teruk terjejas akibat serangan ini.

Hari ini semangat patriotik dan perpaduan rakyat sangat diperlukan untuk sama-sama kita memulih dan menyelamatkan negara tercinta kita. Patuhi segala sekatan dan larangan, masing-masing amalkan gaya hidup sihat sebagaimana disaran Kementerian Kesihatan Malaysia dan pakar perubatan dan kesihatan.

Ini bukan masanya untuk menuding jari atau berpolitik untuk menjadi juara. Ini bukan tempoh pilihan raya tetapi fasa menyelamatkan negara. Ahli-ahli politik yang bertanggungjawab adalah mereka yang menggunakan pengaruh masing-masing untuk meyakinkan rakyat agar bekerjasama menyahut dan menjayakan langkah-langkah kerajaan. Bukannya mencuri kesempatan mengkritik dan membangkitkan kemarahan rakyat.

Segala inisiatif kerajaan perlulah dialu-alukan dan disokong walaupun kita mungkin berbeza fahaman atau ideologi politik. Masing-masing perlu mempamerkan kematangan dan kedewasaan, bukan menjadi batu penghalang apa lagi batu api menghasut rakyat dan mengadu-domba.

Jika dari Peristiwa Hitam 13 Mei 1969 yang mencetuskan perbalahan dan pertumpahan darah itu pun boleh kita bangkit dan bina kembali negara, tidak mustahil dengan izin Allah S.W.T dan kerjasama serta perpaduan semua pihak, ancaman COVID-19 ini pun dapat kita perangi dan atasi bersama.

Kerjasama, kesabaran dan kematangan semua pihak sangat diperlukan di saat genting dan cukup mencabar ini. Sebagai rakyat Malaysia yang punya maruah dan jati diri, bersamalah kita buktikan kita masih patriotik dan cintakan negara, dan sanggup berkorban demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara yang tercinta.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 26/3/2020