COVID-19: Sisa klinikal bertambah, JAS urus pelupusan

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menguruskan pelupusan sisa klinikal di seluruh negara yang meningkat sebanyak 17 peratus ekoran COVID-19 berbanding purata sebulan secara komprehensif, demikian maklum Menteri Alam Sekitar, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Advertisement

Dimaklumkan, Jabatan Alam Sekitar mempunyai satu sistem pengurusan sisa klinikal (buangan terjadual SW404) yang komprehensif sejak tahun 2005 menerusi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Ini bermakna semua sisa klinikal akan diasingkan di hospital atau klinik, kemudian dikutip, dihantar dengan kenderaan khas dan dilupuskan di dua belas (12) buah fasiliti insinerator di seluruh negara” jelas beliau

Menurut kenyataan dikeluarkan, ketika ini terdapat tujuh syarikat dilesenkan Jabatan Alam Sekitar bagi mengendalikan semua sisa klinikal dihasilkan dari fasiliti perubatan sama ada hospital, klinik atau institusi perubatan bermula dari kutipan, pengangkutan, rawatan sehingga kepada pelupusan. 

“Pengurusan sisa klinikal ini dikawal bagi memastikan sisa tersebut diuruskan dengan sempurna dan tidak memudaratkan kepada kesihatan awam.

“Kesemua kemudahan rawatan dan pelupusan oleh syarikat tersebut adalah dilesenkan di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan tertakluk kepada syarat-syarat ketat di dalam j adual pematuhan lesen dalam tempoh pelesenan oleh JAS. 

Syarikat-syarikat tersebut adalah Radicare Sdn Bhd, Edgenta Mediserve Sdn Bhd, Medivest Sdn Bhd, Sedafiat Sdn Bhd, dan One Medicare Sdn Bhd yang merupakan syarikat konsesi yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia,” ujar kenyataan itu.

Semua syarikat ini di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menguruskan sisa klinikal yang dihasilkan oleh hospital, klinik dan institusi perubatan kerajaan di bawah Perkhidmatan Pengurusan Sisa Klinikal (CWMS). 

Manakala, Kualiti Alam Sdn Bhd dan Future NRG Sdn Bhd merupakan syarikat yang menguruskan semua sisa klinikal dari hospital/klinik swasta.

“Kesemua kemudahan rawatan dan pelupusan tersebut adalah merupakan perkhidmatan penting (essential services) yang dibenarkan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Pihak Kementerian Alam Sekitar akan terus memantau syarikat-syarikat tersebut termasuk melalui sistem atas talian iaitu Electronic Scheduled Waste Management System (eSWIS) bagi memastikan semua sisa klinikal diurus dengan sempurna,” maklum kenyataan itu lagi.

Selain itu turut ditegaskan bahawa semua prosedur atau urusan berkaitan sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Pada masa yang sama, Kementerian Alam Sekitar juga mengingatkan orang ramai bahawa pengendalian dan pelupusan haram buangan terjadual termasuk sisa klinikal tanpa lesen merupakan suatu kesalahan.

Iaitu diperincikan perkara itu di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan boleh dihukum penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun dan denda maksimum sebanyak RM500,000 jika disabitkan kesalahan. – HARAKAHDAILY 26/3/2020