Covid-19: Talian Khas Kaunseling diwujudkan

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mewujudkan inisiatif talian khas bagi memberi sokongan psikologi kepada masyarakat yang terkesan daripada penularan wabak Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini telah dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Menterinya, Dato’ Seri Rina Mohd Harun berkata inisiatif baru melalui Talian Khas Kaunseling atau perkhidmatan tele-kaunseling ini melibatkan seramai 528 kaunselor di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.

“Pemanggil yang memerlukan perkhidmatan tele-kaunseling akan dipanjangkan kepada pegawai kaunselor yang berdekatan bagi membincangkan masalah yang dihadapi berkaitan Covid-19 dan kesan Perintah Kawalan Pergerakan.

Advertisement

“Ini bagi memastikan kesihatan mental rakyat Malaysia sentiasa ditahap yang stabil,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, talian khas ini dibuka kepada mangsa Covid-19, waris mangsa, petugas pusat kuarantin, hospital dan lain-lain individu yang terkesan dengan PKP.

Mintanya, supaya mereka yang berhadapan dengan tekanan akibat situasi Covid-19 menghubungi Talian Kasih dengan kadar segera agar kementerian dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Perkongsian masalah dan khidmat tele-kaunseling diharapkan dapat membantu semua lapisan masyarakat kanak-kanak, wanita, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

“Ia bagi mengelakkan lain-lain masalah sosial seperti penderaan dan keganasan rumah tangga dalam masyarakat berlanjutan sehingga boleh meningkatkan pelbagai risiko keselamatan,” katanya lagi.

Talian Khas Kaunseling Covid-19 ini boleh dihubungi di Talian Kasih 15999 serta talian whatsapp 019 -26 15999. Perkhidmatan ini beroperasi selama 24 jam sehari dan 7 hari seminggu.- HARAKAHDAILY 26/3/2020