COVID-19: Usah hanya pandai menuding jari

SAYA pasti tiada satu manusia pun di dunia yang mahu dijangkiti COVID-19. Malahan juga tidak siapa pun mahu jadi pembawa mahupun perumah kepada wabak COVID-19.

Namun untuk menuduh mahupun mengatakan bahawa jamaah Tabligh adalah punca penularan wabak COVID-19 adalah tidak adil dan mendiskriminasi kumpulan jamaah tersebut.

Setakat 24 Mac, sudah 13,000 jamaah Tabligh yang telah menjalani ujian saringan COVID-19, bakinya kita harap tampil untuk membuat ujian saringan untuk memutuskan jaringan COVID-19 supaya tidak merebak.

Advertisement

Sebagaimana menurut Ketua Pengarah Kesihatan, usah mendiskriminasi jamaah Tabligh. Tiada siapa di kalangan mereka yang mahu begitu, percayalah.

Kes pertama COVID-19 yang dicatatkan dalam negara pada penghujung Januari lalu oleh 3 warga China yang masuk melalui Singapura, tiada siapa yang menuduh atau menyalahkan mereka pembawa wabak COVID-19 kerana kita bukan bersikap begitu.

Sebagaimana yang berlaku di Wuhan, China apabila mangsa pertama dijangkiti COVID-19 pada 1 Disember 2019 yang kemudiannya menular hingga menjadi pandemik di seluruh dunia sebagaimana diumumkan WHO, tiada siapa pun menyalahkan China kecuali Donald Trump yang gemar main politik untuk kepentingannya dengan menggelarkan sebagai ‘China Virus’.

Kerana dunia sedar akan bahayanya wabak COVID-19, maka tumpuannya lebih kepada mencari jalan penyelesaian daripada mencari salah. Sekarang lebih 400,000 orang dijangkiti dan hampir 20,000 kematian dicatatkan.

Jika asyik menyalahkan orang lain sudah tentu dunia tidak mampu bendung wabak COVID-19 kerana usaha lebih terarah kepada mencari salah, menuduh dan bersikap diskriminasi.

Dalam hal begini, adakah kita patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)? Ingat, jangan kita asyik sibuk mencari salah dan menuduh orang lain, kita pula tidak ikut PKP, dijangkiti malah menjadi perumah COVID-19 yang boleh membahayakan keluarga dan masyarakat.

Stay at home, be safe with your family. Bantu kerajaan dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Umpama pepatah Melayu “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Jadikan Malaysia sebagai impian terbaik untuk generasi akan datang.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI – HARAKAHDAILY 26/3/2020