MB mahu rakyat Kelantan patuhi arahan PKP

TUMPAT: Rakyat Kelantan diminta mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Menteri Besarnya, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, orang ramai perlu memberi sokongan padu terhadap PKP bagi membantu kerajaan menangani wabak Covid-19.

Advertisement

“Kita mesti memberi sokongan padu kepada usaha itu di samping bermunajat pada Allah SWT ketika menangani wabak yang berlaku sekarang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan di Kampung Selehor petang semalam.

Semalam Ketua Polis Kelantan, Dato’ Hassanuddin Hassan memberitahu masih ada orang awam yang tidak mematuhi PKP khususnya di bandar Kota Bharu sehingga polis perlu memperketatkan kawalan semua laluan masuk ke pusat bandar.

Menurutnya, ia berikutan ada ramai yang pergi ke bandar tanpa memberi alasan penting.

Sehubungan itu, Ahmad berharap rakyat Kelantan mengambil langkah proaktif bagi menjayakan usaha kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19.- HARAKAHDAILY 26/3/2020