PKP akan diperketatkan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diperketatkan bagi mengawal pergerakan rakyat termasuk kemungkinan mewujudkan lebih banyak sekatan.

Advertisement

Ia merangkumi pergerakan orang ramai dalam membuat pembelian barangan dan makanan harian.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini sedang menyiapkan SOP baharu untuk fasa kedua PKP diperkenalkan.

Katanya, PKP fasa pertama dilihat banyak perkara dibenarkan dan mempunyai pengecualian tertentu sahaja yang masih menyebabkan banyak pergerakan rakyat.

Hal tersebut berikutan dapatan pihak polis yang mengatakan pematuhan PKP hanya 95 peratus yang mana menunjukkan masih ada segelintir yang ingkar.

Justeru itu, MKN diminta memperkenalkan atau mengeluarkan SOP baharu dan peraturannya akan menjadi lebih tegas bermula Sabtu ini.

“Jadi, mungkin selepas ini banyak sekatan akan dikenakan sama ada dari segi pembelian, membeli-belah, membeli makanan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri mengenai PKP di Putrajaya, hari ini.- HARAKAHDAILY 26/3/2020