Potong gaji langkah terpuji – MP Pasir Mas

KUALA LUMPUR: Tindakan pemotongan 2 bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri untuk disumbangkan kepada Tabung Covid-19 adalah satu langkah yang perlu dipuji.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan langkah tersebut melambangkan pengorbanan yang amat tinggi daripada pimpinan negara.

“Saya sangat menyokong langkah yang diambil oleh Perdana Menteri dan kabinet itu. Ia melambangkan pengorbanan yang amat tinggi daripada pimpinan negara kepada rakyat yang berada dalam keadaan tersempit hari ini.

“Sungguhnya inilah satu solidariti yang sangat bernilai kepada rakyat dalam suasana yang dihadapi kini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Advertisement

Beliau yakin tindakan yang diambil itu berpunca daripada gerak sanubari Jemaah Menteri berikutan suasana kesempitan yang dialami oleh rakyat susulan penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berkata Fadhli yang percaya pengorbanan itu akan disambut oleh rakyat seluruhnya dengan mengurangkan atau meminimakan perbelanjaan mereka pada saat kritikal ini.

Beliau yang juga Timbalan Dewan Pemuda PAS Malaysia menzahirkan rasa terharu dengan pengorbanan yang ditunjukkan oleh Jemaah Menteri itu.

“Saya sambut baik langkah Jemaah Menteri dan sangat terharu dengan pengorbanan yang dilakukan oleh pemimpin kita yang sudah tentu terus bekerja walaupun dalam suasana Covid-19 ini.

“Mereka juga tetap berkerja walaupun gaji dan elaun dipotong 2 bulan dan hanya bergantung kepada gaji dan elaun sebagai Ahli Parlimen,” ujarnya.

Dalam satu kenyataan media pejabat Perdana Menteri hari ini memaklumkan bahawa mesyuarat Kabinet pada 25 Mac 2020 telah memutuskan agar 2 bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri dipotong dan disalurkan ke Tabung Covid-19.

Langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu mereka yang menerima kesan akibat penularan wabak Covid-19.

Tabung Covid-19 telah dilancarkan pada 11 Mac lepas sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu.

Sehingga semalam, jumlah sumbangan wang terkumpul termasuk geran kerajaan adalah sebanyak RM8,493,103.48.- HARAKAHDAILY 26/3/2020