Rakyat Kelantan perlu patuhi PKP – Takiyuddin

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan menyeru rakyat Kelantan khususnya agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan tempohnya sehingga 14 April ini.

Beliau berkata demikian apabila merujuk kepada laporan satu portal berita yang bertajuk “Rakyat Kelantan ‘degil’ polis akan ketatkan sekatan”.

Katanya, kerjasama dengan pihak yang menguatkuasakan undang-undang khususnya Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) seperti petugas kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah amatlah penting.

Advertisement

Menurutnya, ia bertujuan untuk memastikan langkah yang diambil oleh kerjaan demi menjaga nyawa rakyat, berkesan serta tidak sia-sia.

“Saya suka mengingatkan bahawa pihak yang diberi kuasa mengikut undang-undang tersebut boleh menggunakan apa jua cara hatta kekerasan bagi memastikan PKP dipatuhi.

“Selain boleh menahan, mendakwa sehingga dihukum penjara atau dikenakan denda oleh mahkamah sebagaimana yang telah dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berharap kesabaran dalam menghadapi tempoh getir dan mencabar ini mampu menyelamatkan nyawa semua rakyat malaysia daripada terus diserang virus Covid-19 yang amat berbahaya serta membawa maut.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini berikutan trend semasa kes positif wabak Covid-19 yang baharu masih berlaku.

Ia juga dijangka akan berterusan meningkat untuk beberapa ketika sehingga angka trend kes baharu menurun.- HARAKAHDAILY 26/3/2020