Rakyat perlu #DudukDiRumah #KitaMestiMenang

Gelombang tsunami COVID-19 jika gagal PKP

KUALA LUMPUR: Kegagalan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan satu pilihan kerana ia merisikokan negara kepada gelombang ketiga penularan COVID-19, demikian peringatan Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah.

Advertisement

Sehubungan itu seru beliau, rakyat mesti bersikap serius dengan arahan PKP supaya “Duduk Di Rumah” untuk bersama memutuskan rantaian COVID-19 kerana seandainya tidak dipatuhi, gelombang berikutnya akan menjadi seperti tsunami.

Sementara itu, pertambahan 172 pesakit baharu menjadikan jumlah kumulatif positif COVID-19 adalah 1,796 kes dengan 4 lagi korban menjadikan 19 kematian bagi negara setakat makluman rasmi jam 5:00 petang semalam.

Perkembangan tersebut bererti dalam kalangan awam masih wujud risiko penyebar dan pembawa yang berpotensi meninggikan gelombang sebagaimana amaran Dr Noor Hisham sekiranya PKP gagal disempurakan.

Oleh itu, keputusan kerajaan memanjangkan tempoh KPK kepada tarikh baharu iaitu lanjutan sehingga 14 April adalah rangka tindak balas ke arah menjamin rantaian penyebaran wabak COVID-19 kepada angka sifar dapat direalisasikan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan tempoh baharu yang lengkap sebulan itu turut memahami kebimbangan rakyat, namun berjanji banyak lagi tambahan inisiatif dan insentif bantuan bakal diberikan.

Oleh demikian, setiap dari kelompok rakyat perlu terus bertenang dan memberikan kepercayaan kepada pihak kerajaan bahawa terkesan atau terjejasnya mereka kerana mematuhi PKP akan ditangani secara komprehensif.

Kerana setakat semalam juga, angka dan peratus keingkaran kembali mengecewakan hingga pihak polis terpaksa membuka 695 kes daripada 1,796 laporan polis dengan 28 orang dalam tahanan dan 40 orang sedang disiasat.

Sedangkan, anggota barisan hadapan yang memerangi COVID-19 ternyata berada dalam risiko serupa, namun tetap komited dan kekal bersemangat sebagaimana tanda pagar #KitaMestiMenang dilonjakkan kepada warga sosial.

Maka, solidariti rakyat demi menjayakan pematuhan kepada arahan PKP teramat penting sekali dengan ketika sama menolak segala sikap negatif dan membangkang secara semberono lagi tidak matang oleh pihak tertentu. – HARAKAHDAILY 26/3/2020