Terima kasih Jemaah Menteri – Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan terima kasih ke atas seluruh Jemaah Menteri berikutan keputusan memotong gaji dua bulan untuk disumbangkan ke Tabung COVID 19.

Advertisement

“Terima kasih atas pengorbanan seluruh Jemaah Menteri. Kepimpinan melalui teladan.

“Semoga Allah memberkati usaha ini, dan melindungi kita semua,” kata beliau ringkas dalam satu ucapan di Facebook nya sebentar tadi.

Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, Jemaah Menteri kerajaan Perikatan Nasional memutuskan memotong gaji selama dua bulan untuk disalurkan kepada Tabung COVID-19.

Pengumuman berkenaan dibuat pada hari ini menerusi kenyataan rasmi dari Pejabat Perdana Menteri.

Memetik kenyataan berkenaan, langkah memotong gaji anggota Kabinet kerajaan sebagai menzahirkan kesungguhan kerajaan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

“Tabung Covid-19 telah dilancarkan pada 11 Mac lepas sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu.

“Sehingga semalam, jumlah sumbangan wang terkumpul termasuk geran kerajaan adalah sebanyak RM8,493, 103.48,” jelas Pejabat Perdana Menteri.
HARAKAHDAILY 26/3/2020