Yayasan Isra’ usaha bangunkan kompleks di Mentaloon

YAYASAN Isra’ Malaysia kini sedang giat untuk menjayakan pembangunan sebuah kompleks yang bakal berfungsi sebagai pusat pendidikan dan dakwah serta pentadbiran NGO itu. Usaha ini sedang dijayakan dengan membeli sebidang tanah beralamat di No.99 Mentaloon yakni berhampiran Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah dan bersebelahan Kilang Kopi Guru Quran.

Advertisement

Tapak kompleks yang sudahpun dibersihkan ini segera dimulakan kerja-kerja pembinaannya di mana bakal memiliki sebuah surau, kelas dan asrama, serta bilik pejabat dan seminar. Selain akan menempatkan pelajar tahfiz al-Quran dan Hadis, kegiatan kuliah umum kepada masyarakat setempat juga akan digiatkan di sini.

Pada ketika ini, para pelajar sedang ditempatkan di bangunan sementara di Kuala Kedah sementara fasa pertama tersebut dapat disiapkan pada pertengahan Ramadan ini dan dijangka siap lainnya pada November nanti. Semua pembinaan awal ini bagaimanapun masih memerlukan dana sekitar RM700,000.

Projek cetusan Pengerusi Yayasan Isra’ Malaysia, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman bersama beberapa rakannya ini buat masa ini akan memfokuskan usaha pendidikan tersebut seterusnya mengadakan latihan ke arah melahirkan pendakwah. NGO ini turut memberi perhatian kepada agenda sama di peringkat antarabangsa, terutama melibatkan umat Islam.

Di masa depan, kompleks ini yang bakal diperbesarkan lagi, akan turut diperluaskan fungsinya, termasuk menjadi hub-pendidikan pelancongan (edu-tourism) dan menjadi destinasi wajib dikunjungi bagi pelancong ke Bandaraya Alor Setar atau negeri Kedah. Malah, antara keunikannya adalah terletak di tepi sungai yang membolehkan pelancong menyusuri dengan bot ke Tanjung Chali.

Sehingga hari ini, operasi dan usaha digerakkan Yayasan Isra’ adalah dari kepercayaan dan sumbangan orang ramai dan para dermawan yang diseru untuk istiqamah meneruskan jariah mereka.

Oleh itu, orang ramai yang perlukan maklumat lanjut boleh hubungi Pengurus Projek Pembangunan Kompleks Isra’ dan Mudir Tahfiz, Ustaz Muhammad Naim Abd Razak di talian 012-215 5265 atau ‘hotline’ Yayasan Isra’ Malaysia 014-338 8099.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank 5520 9523 0206 atas nama Yayasan Isra’ Malaysia. – HARAKAHDAILY 26/3/2020