Bantu usahawan hilang pendapatan

KUALA LUMPUR: Program kewangan sosial akan diperkenalkan bagi membantu usahawan B40 dan rakyat yang hilang mata pencarian, demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, program ini akan mendapat kerjasama antara institusi perbankan Islam, Majlis Agama Islam Negeri dan rakan-rakan pelaksana utama.

Advertisement

Menurutnya, sumbangan kewangan sosial akan disalurkan dalam bentuk modal permulaan bagi usahawan mikro menggunakan dana zakat dan dipadan dengan pembiayaan mikro pada kadar yang berpatutan.

Jelasnya, pada fasa pertama melibatkan kerjasama antara Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan bermula dalam bulan Mei ini.

Dalam masa yang sama, usahawan yang layak akan diberi latihan keusahawanan, pengurusan kewangan dan sokongan untuk membangunkan perniagaan yang dipilih.

“Saya faham sektor korporat juga terjejas dengan situasi yang kita hadapi pada waktu ini, sektor ini tidak akan diabaikan.

“Kerajaan menyambut baik usaha institusi perbankan yang bersedia untuk menstruktur semula bayaran balik pinjaman sektor korporat bersesuaian dengan prestasi perniagaan mereka,” katanya dalam sidang media pengumuman Pakej Ransangan Ekonomi Ransangan Rakyat Prihatin di Putrajaya, hari ini.

Muhyiddin berkata, Kerajaan juga akan menyediakan kemudahan skim jaminan berjumlah RM50 juta dengan jaminan sehingga 80 peratus daripada jumlah pinjaman bagi tujuan membiayai keperluan modal kerja, malah skim tersebut akan diuruskan dan tertakluk kepada penilaian kredit oleh Dana jamin.

Tambah beliau, kemudahan ini disasarkan kepada perniagaan yang berdaya maju dalam semua sektor yang menghadapi kesukaran akibat wabak COVID-19.

“Saiz minimum pinjaman yang layak dijamin ialah RM20 juta bagi setiap perniagaan, manakala kemudahan ini akan disediakan untuk pemohonan mulai 1 Mei sehingga 31 Disember 2020, atau sehingga dana jaminan digunakan sepenuhnya,” katanya lagi.- HARAKAHDAILY 27/3/2020