PAS Putatan hasilkan ‘face shield’ untuk ‘frontliner’

PUTATAN: PAS Kawasan Putatan telah menjalankan siri pertama penyerahan pelindung muka (face shield) kepada para petugas benteng hadapan COVID-19 di beberapa premis kesihatan, di sini semalam.

Advertisement

Semua pelindung muka dibuat sendiri oleh ahli-ahli PAS Putatan ini sebagai salah satu inisiatif bagi memenuhi keperluan institusi perubatan yang terlibat secara langsung mengawal pandemik COVID-19.

Sebanyak 690 ‘face shield’ berjaya disiap dan diagihkan oleh para sukarelawan di mana antara yang menerima sumbangan adalah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Klinik Putatan, di sini.

Selain itu, Hospital Semporna yang turut kekurangan bekalan alat perlindungan peribadi (PPE) telah menerima 100 ‘face shield’ yang dihantar melalui pos.

Turut turun padang bagi menyampaikan sumbangan tersebut sebagai menzahirkan solidariti dan sokongan ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Putatan, Mohamad Rizal Nasri.

Menurut Rizal, sumbangan disampaikan ini adalah idea proaktif ahli PAS dan hasil derma orang ramai yang prihatin akan keperluan para ‘frontliners’ terbabit.

Beliau memuji daya kesungguhan dan kerja bertungkus-lumus serta pengorbanan mereka laksanakan setiap waktu bagi memastikan pandemik ini berjaya ditangani.

“Ia tanda kebersamaan kami serta penghargaan terhadap para adi wira sejati yang berhempas pulas memastikan kesejahteraan keseluruhan rakyat Sabah khasnya,” ujarnya.

PAS Putatan merangka sekurang-kurangnya dua fasa penyerahan lagi dan berazam untuk meneruskan usaha sebegini setakat yang diperlukan, terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Setakat semalam, Sabah mencatatkan 172 kes positif COVID-19, dengan Kota Kinabalu dan Putatan masing-masing merekodkan sejumlah 24 dan 4 kes. – HARAKAHDAILY 27/3/2020