Susah sama dipikul, ringan sama dijinjing

KEADAAN sekarang memang amat menyukarkan malah menyulitkan. Keluhan rakyat sebenarnya didengari oleh Kerajaan.

Namun demi untuk kebaikan keseluruhan rakyat dan untuk membendung penularan wabak COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan oleh Kerajaan.

Pelaksanaan PKP menyebabkan perniagaan terpaksa ditutup, pekerja terpaksa bercuti, IKS dan perusahaan juga ditutup.

Advertisement

Pekebun, petani dan juga peniaga-peniaga kecil juga terpaksa bercuti dan menutup perniagaan. PKP adalah kaedah terbaik untuk mengekang daripada wabak COVID-19 menular.

Saat ini, ada di antara rakan dan sahabat kita di taman, kampung dan mungkin jiran sebelah kita yang kekurangan makanan, keperluan harian dan kewangan untuk menampung keluarga mereka.

Bantulah mereka, jangan biarkan mereka kelaparan dan keluarga mereka bertambah sukar untuk mengharungi hari-hari mendatang.

Masjid dan surau juga sebenarnya memainkan peranan penting dalam menjaga maslahah kariah mereka kerana lebih mengetahui keadaan dan penduduk dalam kariah mereka.

Ingat dan lihatlah bagaimana zaman Rasulullah S.A.W masjid berfungsi. Masjid dan surau adalah tempat aktiviti dan sosiobudaya setempat di zaman Rasulullah S.A.W selain tempat beribadah dan pusat pengembangan syiar Islam.

Oleh itu, jika terdapat mana-mana anak kariah yang kesukaran dalam menampung kehidupan dan keperluan harian, masjid dan surau patut sama membantu.

Gunalah sebaik-baiknya wang daripada tabung masjid dan surau untuk membantu anak kariah masing-masing. Ia adalah tanggungjawab kita.

InsyaAllah, jika kita membantu untuk kebaikan nescaya Allah S.W.T merahmati kita kariah kita.

Jangan kita lihat sahaja kesukaran dan kesusahan anak kariah kita, kelak Allah S.W.T akan menyoal bagaimana kita melaksanakan tanggungjawab kita.

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI – HARAKAHDAILY 27/3/2020