Covid-19: 159 positif, seorang meninggal hari ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 159 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kes keseluruhan setakat ini adalah 2,320.

Dalam masa yang sama, seramai 73 pesakit yang dijangkiti Covid-19 kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 54 mangsa kini memerlukan alat bantuan pernafasan.

Advertisement

Manakala kes kematian akibat Covid-19 mencatatkan penambahan satu mangsa korban menjadikan keseluruhan kes kematian di Malaysia setakat ini akibat wabak berjangkit itu adalah sebanyak 27 kes kematian.

Mangsa merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Beliau dirawat di Hospital Tangkak pada 24 Mac kemudian dipindah ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada 25 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 28 Mac jam 10.50 pagi tadi.

Bagaimanapun berita baiknya adalah, pesakit kes positif Covid-19 yang discaj pada hari ini adalah sebanyak 61 kes menjadikan pesakit discaj keseluruhan adalah 320 kes.– HARAKAHDAILY 28/3/2020