Pantau peniaga yang naikkan harga barang

KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap akan mengawal dan memantau golongan peniaga yang cuba mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan keperluan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana sejak 18 Mac lalu.

Advertisement

Kata Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad, pemantauan perlu dibuat apatah lagi selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin yang memberi manfaat kepada semua rakyat.

Sehubungan itu beliau berharap pemantauan kawalan harga barangan keperluan itu amat perlu agar golongan peniaga dan kedai-kedai tidak mengambil sebarang kesempatan.

Beliau mengingatkan pihak berkuasa supaya tidak hanya memantau harga face mask tetapi semua barang keperluan harian.

“Pihak berkuasa khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan talian dan laman web untuk memudahkan rakyat membuat aduan.

HARAKAHDAILY 28/3/2020