Penghulu jejaki penduduk miskin di kampung

MACHANG: Ketika orang ramai berada di rumah bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), wakil rakyat dan penghulu pula keluar masuk kampung.

Advertisement

Mereka menjejaki penduduk miskin yang terkesan ekoran PKP menyebabkan ramai tidak dapat bekerja.

Di Dun Temangan wakil rakyat kawasan itu Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan menyampaikan sumbangan makanan dan keperluan asas melalui penghulu untuk diagih kepada rakyat.

Kampung yang terlibat pada agihan hari ini termasuk Kampung Simpul

Belubang, Kampung Kuala Sat, Kampung Hutan Putih, Kampung Pangkal Mak Wan, Kampung Kelaweh, Kampung Kaabah.

Selain itu Kampung Wakaf Bata, Kampung Pangkal Berangan, Kampung Lundang
dan Kampung Cina.

“Penyampaian hari ini melibatkan penghulu bagi mengelakkan sebarang perhimpunan yang melibatkan ramai orang.

“Penyampaian untuk mukim berikutnya akan menyusul selepas ini melalui penghulu masing-masing. Didoakan semoga seluruh rakyat Dun Temangan berada dalam keadaan selamat dan sihat sejahtera,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Beliau yang juga anggota Exco kerajaan negeri berharap orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa untuk tinggal di rumah.

Manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shary merakam ucapan terima kasih kepada Jabatan Amal Malaysia menghantar barangan asas untuk membantu penduduk miskin di Pengkalan Chepa.

Katanya, barangan itu akan diagih melalui penghulu di setiap Dun di Pengkalan Chepa.

HARAKAHDAILY 28/3/2020