PRIHATIN: Mampankan ekonomi rakyat dan negara

PERSATUAN Professional Muda Malaysia (IPRISMA) menyambut baik usaha Kerajaan Malaysia dalam memastikan kebajikan rakyat melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang telah diumumkan ketika berhadapan peperangan COVID-19 ini. Ia menunjukkan bahawa kerajaan baharu yang telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong ini adalah sebuah kerajaan prihatin rakyat.

Advertisement

Tiada siapa meminta agar keadaan menjadi gawat dengan cepat seperti apa yang berlaku kini. Tidak pernah terlintas di fikiran bakal menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) asbab wabak COVID-19 yang melanda negara dan dunia.

Kondisi rakyat yang pada awalnya sangat gusar dengan kewangan individu dan keluarga masing-masing setelah PKP terpaksa dilaksanakan, sedikit terubat setelah mendengar buah kata dan solusi dari Perdana Menteri Malaysia ke-8 melalui PRIHATIN tersebut. Benarlah sebagai pemimpin, cubit peha kanan, peha kiri terasa. Alhamdulillah, kini semua mampu menarik nafas lega.

PRIHATIN berteraskan keadilan dan seimbang yang menepati kehendak ekonomi Islam agar jurang yang miskin dan kaya tidak begitu jauh serta mampu memupuk persaudaraan melalui perseimbangan dan agihan insentif yang saksama dalam kalangan masyarakat. Firman Allah S.W.T:

“..supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja dalam kalangan kamu..”
(al-Hasyr: 7)

Al-Ghazali (505H) dan As-Syatibi (790H) ada mengungkapkan bahawa utiliti sosial dalam Islam yang perlu diutamakan dalam memampankan kebajikan ekonomi rakyat khususnya berdepan krisis ekonomi seperti PKP sekarang adalah dengan memenuhi keperluan serta kemudahan yang dihajati setiap anggota masyarakat. Alhamdulillah, pakej tersebut tepat dan memenuhi hal itu.

Semoga wabak COVID-19 ini segera berlalu dan sama-sama kita doakan agar keadaan ekonomi negara akan bertambah baik di masa hadapan seperti yang pernah diungkapkan oleh oleh Nabi Yusuf A.S ketika mentafsirkan mimpi Raja Mesir:

“Kemudian akan datang pula sesudah itu ~(yakni tujuh tahun yang perlu menjana ekonomi dan tujuh tahun kemarau yang memerlukan mereka menggunakan simpanan mereka untuk teruskan kehidupan) tahun padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah -hasil anggur, zaitun dan sebagainya”
(Yusuf: 49)

Di mana in shaa Allah ekonomi negara akan terus rancak maju dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang sejahtera hendaknya.

USTAZ MUHAMMAD RASHIDI AB HAMID
Presiden
Persatuan Profesional Muda Malaysia (IPRISMA) – HARAKAHDAILY 28/3/2020