Siap sedia pemulihan ekonomi pasca PKP

DEWAN Pemuda PAS Kedah menyeru masyarakat agar bersiap sedia untuk menghadapi fasa pemulihan ekonomi ekoran Pakej Rangsangan Ekonomi yang di umumkan kerajaan.

Advertisement

Tindakan Kerajaan Perikatan Nasional mengumumkan pakej rangsangan yang berjumlah RM250 bilion itu jelas memberi isyarat bahawa pemulihan ekonomi pasca tempoh PKP amat penting untuk digembeling secara bersama antara rakyat, pihak swasta, entiti ekonomi dan kerajaan.

Suntikan kewangan kepada poket rakyat melalui Bantuan Prihatin Nasional,RM1600 dan bantuan kepada individu lain adalah untuk memastikan putaran aktiviti ekonomi bergerak lancar dalam negara kita andai tempoh PKP tamat 14 April nanti.

Justeru , Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah menyeru agar rakyat mengambil sikap berjimat cermat, amalkan budaya menyimpan dan pastikan berbelanja pada kadar keperluan serta mengutamakan pembelian barangan tempatan.

Bagi golongan bujang yang menerima manfaat RM800 pemberian tunai, kami mencadangkan agar wang tersebut dibelanjakan secara berhemah dan tidak membazir kepada perkara yang kurang keutamaan.

Kami juga mengharapkan agar rakyat tidak lupa untuk melakukan kebajikan dengan dana yang diperolehi dengan menderma kepada tabung kebajikan COVID-19 yang diusahakan oleh pelbagai pihak.

USTAZ NURUL AMIN HAMID
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

HARAKAHDAILY 28/3/2020