Wabak yang menangguhkan solat jamaah dalam sejarah umat

DUNIA seolah – olah berhenti berputar saat ini. Tidak pernah sekalipun terlintas bahawa fenomena wabak covid-19 yang sedang melanda dunia pada ketika ini telah menghentikan semua aktiviti manusia.

Advertisement

Hampir satu pertiga penduduk dunia samada dipaksa “ lock down “ atau dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti Malaysia bertujuan untuk mengelak virus ini daripada terus merebak.

Walaupun bencana wabak seperti Covid-19 bukanlah kali pertama melanda umat manusia tetapi apa yang dihadapi oleh dunia pada ketika ini adalah yang paling teruk dalam sejarah manusia. Ini adalah kerana penularannya yang cukup pantas dan begitu juga dari sudut skala serta lokasi tempat ianya merebak yang merangkumi hampir keseluruhan benua dan sudah mencapai 2/3 dunia.

Biarpun jumlah kematiannya masih lagi sedikit berbanding dengan bencana-bencana wabak sebelum ini seperti Spanish Flu pada tahun 1918 – 1919 yang meragut jutaan nyawa manusia, Covid-19 tidak boleh dipandang ringan malah lebih merbahaya daripada wabak sebelumnya. Saintis malah pakar – pakar perubatan mengakui tidak pernah menjumpai virus sebegini rupa yang cukup bahaya buat manusia.

Bahayanya Covid-19 kerana kepantasannya bermutasi sebelum menjangkiti manusia lain. Kadar penyebarannya juga begitu cepat dan mudah dimana sebenarnya manusia juga menjadi penyebab utama tularnya wabak ini dengan meluas sebegitu pantas.

Di era zaman globalisasi terdapat pelbagai kemudahan untuk manusia berhubung antara satu sama lain terutamanya kemudahan pengangkutan seperti kereta, keretapi, bas dan pelbagai medium pengangkutan lain yang menyebabkan virus ini begitu mudah merebak dengan pantas akibat dari pergerakan manusia.

Seperkara yang pasti, merebaknya wabak ini adalah jangkitan antara manusia. Oleh itu tanpa pengawalan yang ketat ke atas pergerakan manusia seperti perhimpunan, pergerakan orang awam tanpa kawalan mahupun pergerakan rentas negeri atau negara, Covid-19 mampu menjangkiti malah menular tanpa mengenal negeri, negara mahupun benua.

Hampir semua negara di Dunia Islam terkesan dengan Covid-19 khususnya Iran yang mencatat jumlah kematian paling tinggi berbanding dengan negara-negara Islam lain.

Namun langkah-langkah awal telah diambil demi untuk mengelak musibah yang lebih besar berlaku, antara lainnya seperti pemerintah Arab Saudi yang telah mengantung ibadah umrah dan haji pada tahun ini bagi mengelak wabak ini tersebar.

Bagi umat Islam, melihat dua kota suci iaitu Mekah dan Madinah kosong tanpa manusia adalah satu fenomena yang sangat pelik kerana saban tahun kita melihat jutaan umat Islam berpusu-pusu mengunjungi dua kota suci ini untuk menunaikan ibadah kepada Allah SWT.

Begitu juga suasananya sekarang di Malaysia yang tidak pernah melalui situasi sebegini. Agak janggal apabila masjid-masjid ditutup daripada didirikan solat jemaah samada lima waktu mahupun solat Jumaat yang menjadi fardhu ain ke atas umat Islam.

Kerajaan telah mengambil tindakan yang tepat dengan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) demi menjaga maslahah umum untuk mengelak mudharat lebih besar kerana jika ianya merebak, ia mampu menyebabkan korban nyawa yang amat besar.

Jika diteliti dalam sejarah Islam, fenomena kekosongan masjid akibat wabak bukanlah kali pertama ianya berlaku. Di sini disertakan beberapa wabak yang pernah membawa malapetaka kepada manusia khususnya di Dunia Islam seperti :

⁃ Wabak ‘Amwas yang berlaku pada tahun 18 Hijrah yang mengorbankan sebilangan para sahabat – sahabat Nabi SAW. ‘Amwas adalah nama tempat di dalam Palestin yang menjadi tempat merebaknya wabak ini.

⁃ Wabak Tunis yang berlaku pada tahun 395 Hijrah mengorbankan banyak nyawa serta menyebabkan kedai-kedai kosong termasuk masjid-masjid di Qairawaan yang merupakan pusat universiti tertua dalam sejarah Islam juga dikosongkan untuk mengelak wabak tersebut merebak.

⁃ Pada tahun 448 Hijrah berlaku bencana wabak di Andalusia khususnya di bandar Esybiliya ( Sevilla ) dan Qordoba sehingga menyebabkan masjid-masjidnya kosong.

⁃ Pada tahun 449 Hijrah merebak wabak di wilayah Asia Tengah sehingga mengorbankan hampir dua juta nyawa. Wabak ini merebak sehingga sampai ke Timur Tengah. Ibnu Aljawzi menyifatkan kedahsyatan wabak ini sehingga dalam sehari tidak kurang 17 ribu nyawa terkorban dan menyebabkan masjid-masjid tidak dapat mendirikan solat jamaah kerana semua orang sibuk menguruskan jenazah.

⁃ Wabak taun pada tahun 749 Hijrah yang melanda Eropah dan kemudian merebak ke Dunia Islam khususnya Mesir sehingga meragut banyak nyawa dan mengosongkan masjid-masjid daripada jemaah.

⁃ Bencana Mekah yang berlaku pada tahun 827 Hijrah sehingga menyebabkan masjid-masjid kosong tidak didirikan solat jemaah termasuk Masjid Al-Haram. Sehingga diriwayatkan pada satu-satu ketika hanya imam dan seorang makmum sahaja yang solat di dalam Masjid Al-Haram.

Wabak-wabak di atas adalah sebahagian daripada apa yang pernah dilalui dalam sejarah Islam di samping peristiwa-peristiwa lain seperti peperangan dan bencana alam yang menghalang umat Islam untuk menghidupkan rumah Allah SWT.

Jika diteliti dalam kitab-kitab sejarah Islam termasuk kitab-kitab fiqh, ada yang membincangkan masalah penangguhan ibadah khususnya solat jemaah dan ibadah haji kerana sebab-sebab tertentu. Justeru itu, aspek sejarah adalah sangat penting untuk diteliti kerana ianya menjadi salah satu sebab satu-satu hukum itu berlaku.

Terdapat juga dalam kitab-kitab sejarah Islam dan fiqh yang menyebut tentang pendekatan yang diambil oleh umat Islam apabila berdepan dengan musibah wabak, antaranya ialah membaca Al-Quran dan berzikir beramai-beramai.

Bahkan dalam sejarah masyarakat Melayu Islam sendiri pun melalui cerita orang tua-tua ada menyebut bahawa apabila berlaku wabak taun dan seumpamanya, diadakan ratib beramai-ramai sehingga dinamakan dengan ratib taun bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah serta untuk menghindarkan malapetaka dan musibah.

Justeru saranan Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya baru-baru ini wajar diberikan perhatian oleh masjid- masjid dan surau – surau untuk memasang bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sekurang-kurangnya supaya dapat mengingatkan masyarakat kepada masjid-masjid yang kosong agar dapat diimarahkan dengan lebih meriah selepas ini.

Oleh itu sama – samalah kita berzikir, bermunajat serta berdoa kepada Allah SWT moga – moga kita semua dilindungi dan dihindarkan dari wabak Covid-19.

Sebenarnya ia juga adalah sebagai peringatan daripada Allah akan kekuasaannya serta mengingatkan kita semua kepada kematian yang akan kita tempuhi satu hari nanti.

Namun jangan pula kita lupa dan ingkar akan arahan Kerajaan dan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) kerana ia adalah untuk kebaikan kita semua serta ia adalah salah satu usaha untuk menghalang wabak Covid-19 daripada merebak.

Setelah kita berusaha maka bertawakkallah kepada Allah SWT, semoga kita semua diampuni, dikurniakan rahmat serta dilindungi dari malapetaka dan bencana. Kepada Allah SWT kita berserah, moga – moga ada sinar yang gemilang disebalik ujian yang amat berat ini.

Islam Memimpin Perpaduan.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.

HARAKAHDAILY 28/3/2020