COVID-19: Kes dijangka meningkat, negara bersiap

KUALA LUMPUR: Jangkitan COVID-19 terus meningkat kepada 2,320 kes setelah pertambahan baharu 159 pesakit, manakala angka kematian terkini sudah 27 maut setakat statistik yang direkodkan secara rasmi jam 12:00 tengahari semalam.

Advertisement

Namun, negara sedang diletakkan dalam kesiapsiagaan apabila dijangkakan pertambahan mendadak bakal berlaku pada pertengahan April ini sebagaimana dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) maklum beliau telah membuat segala perancangan bagi mengelak perkara berkenaan terjadi dengan kerjasama kementerian lain, Pihak Berkuasa Tempatan dan Majlis Daerah.

Di mana katanya, minggu ini akan dijalankan serentak di seluruh negara kerja pembersihan, desinfeksi atau nyah kuman dan jangkitan, selain mencari dan menguji mereka yang positif COVID-19 untuk dikuarantin dan rawatan.

Antara sedang dipersiapkan kini adalah menjadikan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS ) dan beberapa institut latihan sebagai tempat kuarantin dan wad rawatan serta para petugas kesihatan di seluruh negara.

Sementara itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun dilaporkan semakin meningkat kadar pematuhan kepada 97 peratus, namun masih berlaku keingkaran yang tidak sewajarnya oleh anggota masyarakat.

Ada yang berdegil dengan terus bersosial berkumpul ramai-ramai tanpa sebarang pencegahan, selain keluar tanpa tujuan kukuh, termasuk mencabar pihak berkuasa hingga terpaksa diambil tindakan perundangan. – HARAKAHDAILY 29/3/2020