DAP tegar musuhi penjawat awam

PENJAWAT awam adalah tulang belakang negara yang menjadi jentera kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar ke segenap pelusuk Malaysia demi kepentingan semua pihak. Namun, sejak sekian lama DAP sering kali menyerlahkan sikap pertentangannya terhadap para penjawat awam dengan pelbagai pertikaian.

Advertisement

Bukan sahaja tulang belakang ini cuba dipatah-patahkan DAP, bahkan urat tunjang dan saraf bersamanya pun mahu diputuskan. DAP sentiasa sahaja merendah-rendahkan, memperlekeh bahkan menghina kemampuan serta peranan penting para penjawat awam. Malah, kelaku itu semakin nyata semasa menerajui kuasa.

Penjawat awam bukan sahaja menjadi mangsa, mereka juga cuba diperkuda secara tidak selayaknya dengan pengalaman dan kepakaran yang ada. DAP bercita-cita dan mempengaruhi agar jumlah penjawat awam dikurangkan kerana dianggap bebanan dan gambaran bersifat tuduhan yang sentiasa menjadikan penjawat awam dilihat buruk.

Walhal, lihatlah ketika negara sedang berperang dengan pandemik COVID-19 ketika ini dan saat orang lain boleh berada di rumah bersama keluarga. Walaupun semua pihak susah dan bukan mahukan berada di rumah, tetapi para penjawat awam kebanyakan kini berada di barisan hadapan (frontliners) demi rakyat dan negara.

Keadaan mereka jauh lebih sukar dan membahayakan atas risiko yang sangat terdedah. Tetapi mereka buktikannya sebagai taat setia, bakti dan pengorbanan yang bukan sahaja untuk keluarga peribadi mereka, tetapi untuk keluarga besar rakyat Malaysia. Apakah hal ini dilihat sekadar tugas rasmi semata-mata?

Ternyata DAP walaupun todak buta mata, tetapi buta mata hati hinggakan pemberian inisiatif tambahan kepada mereka juga mahu dipertikaikan. Walhal inilah masa kerajaan menyalurkan harta negara kepada mereka yang menjadi penjana penting negara, apatah lagi rakyat kebanyakan turut menikmati inisiatif seumpama.

Kenapa bernada benci dan dengki sekali kepada para penjawat awam? Adakah kerana ia satu hal strategik ke arah melumpuhkan kerajaan atau mahu para penjawat awam menjadi golongan yang boleh ditunggangi sebagaimana DAP lakukan kepada pemimpin PAN? DAP silap untuk berhadapan golongan bermaruah seperti penjawat awam.

Kami berharap dengan sedikit pemberian daripada pihak kerajaan pimpinan YAB Tan Sri Dato’ Seri Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin akan meningkatkan semangat dan motivasi para penjawat awam. Seterusnya memacu kemajuan negara dan bersama membentengi COVID-19 ketika ini dan capai #KitaMestiMenang.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”

IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 29/3/2020