Inisiatif masjid dan KRT dipuji ADUN Kubu Gajah

LARUT: Pandemik COVID-19 yang melanda ketika ini mewujudkan suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat dan keluh kesah kerana tanpa wang belanja harian disebabkan kebanyakan masyarakat luar bandar bekerja sendiri dan gaji mengikut hari.

Advertisement

Masjid Insaniah dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bagan Baru antara yang mengambil inisiatif dengan membantu anak kariah menerusi pemberi sumbangan beras kepada penduduk atas terkesannya hidup mereka oleh Perintah Kawalan Pergerakan.

Lebih 1 tan beras diedarkan kepada penduduk sekitar di mana menurut Pengerusi Masjid Insaniah, Mat Arop Saman, sumbangan tersebut adalah mengikuti sebagaimana saranan dikemukakan Menteri Agama, Senator Dato’ Seri Dr Zulkifli Al-Bakri.

Terangnya, meskipun pihak kerajaan telah melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), namun pihak masjid dan KRT digalakkan untuk membantu penduduk kampung atau anak kariah yang terjejas akibat penularan wabak ini.

ADUN Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya berkata, inisiatif itu bertepatan dengan fungsi masjid itu sendiri untuk meringankan beban anak kariah dan ianya sangat dialu-alukan untuk memberikan insentif tambahan kepada penduduk yang terjejas.

Ustaz Khalil sendiri sepanjang tempoh penguatkuasaan kini tetap meneruskan agenda turun padang membantu rakyat dengan memberi sumbangan ke beberapa kampung sekitar DUN yang beliau wakili beliau ini dan memuji tindakan pihak berkenaan.

Dato’ Seri Dr Zulkifli baru-baru ini menyarankan supaya dana masjid dimanfaatkan untuk membantu tanpa mengira bangsa dan agama di mana beliau juga telah melancarkan Misi Musaadah COVID-19 bagi tujuan sama yang diseru diperluaskan di seluruh negara.

Semua pihak dialukan untuk menderma bagi membantu para penduduk DUN Kubu Gajah menerusi akaun Maybank 1580 5191 1775 Tabung Dana Prihatin Kubu Gajah. – HARAKAHDAILY 29/3/2020