PRIHATIN: Agar rakyat dan negara terus bernafas

KUALA LUMPUR: Kecelaruan ekonomi yang berpunca dari kancah politik negara dan masalah kesihatan melanda dunia ketika ini dilihat dihadapi dengan tenang oleh kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pakar Ekonomi, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, bagaimanapun semua pihak tidak mempunyai pilihan kerana soal nyawa adalah perkara nombor satu dan ekonomi juga seiring sama besar pentingnya.

Menurutnya, Perdana Menteri sejak hari pertama dilantik telah memberi fokus kepada ekonomi dengan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang terus bekerja umpama 7 hari seminggu dan 24 jam sehari.

“Penumpuannya di situ. Kami dalam konteks menggerakkan sebenarnya seluruh jentera kerajaan. Jadi tidak ada, hari ini kita tak bercakap mengenai Kementerian-kementerian lagi. Kita ini negara, ini adalah hal negara.

“Jadi dalam konteks stimulus ini, diterajui oleh Menteri Kewangan dan pasukannya di Kementerian itu bersama penglibatan. Alhamdulillah, kita dapat umumkan satu pakej yang hari ini bagi memastikan kelangsungan ekonomi negara,” ujarnya.

Beliau mengupas mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) ketika bersiaran langsung di TV1 dalam Bicara Naratif di Angkasapuri, di sini malam tadi.

Advertisement

Bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini menyifatkan situasi ketika ini amat mencabar berbanding kegetiran ekonomi pada 1998 hanya melibatkan krisis di Asia Timur, tetapi ekonomi dunia luar baik.

Begitu juga bentangnya, di pertengahan tahun 2003 berlaku episod masalah ekonomi tetapi tidak panjang disebabkan wabak SARS, manakala krisis tahun 2008 berpunca daripada kegawatan kewangan di negara-negara maju.

Tetapi suaranya, dunia ketika ini sedang menghadapi pandemik COVID-19 bermula daripada China yang begitu dominan ekonominya kepada dunia dan interaksi pergerakan manusia termasuk ke atas Malaysia.

“Kita menerima umpamanya pelancong yang besar daripada negara China. Jadi negara-negara yang ‘tourism’ umpamanya. Pelancongan menjadi sektor utama. Banyaklah orang-orang daripada negara China yang datang ke sini.

“Dari segi ekonomi, pembekalan, rantaian, semua syarikat-syarikat besar dunia boleh kata mempunyai pejabat ataupun pengoperasian di negara China. Jadi bila meletus, dia merebak dengan begitu cepat, hari ini hampir lebih hampir dah setengah juta manusia yang terkena wabak ini,” ujar beliau.

Jelas beliau, walaupun ekonomi turut digerakkan oleh komputer, robotik dan mesin, tetapi ia tetap memerlukan manusia di belakangnya, namun COVID-19 telah mengganggu dan menjejaskan keupayaan tersebut.

Di mana terangnya, apabila manusia tidak dapat berfungsi maka secara automatik juga segalanya terhenti dan ini menjadi satu hentakan yang kuat ke atas ekonomi, namun mesti difikirkan pergerakan walaupun perlahan agar dapat terus bernafas.

Hingga katanya, dari perbincangan rancak dan pantas serta kerja keras tanpa henti disebalik sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PRIHATIN dapat diumumkan oleh Perdana Menteri. – HARAKAHDAILY 29/3/2020