Harga siling topeng muka RM1.50

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kepenggunaan (KPDNHEP) menetapkan harga siling baharu bagi topeng muka di Malaysia adalah RM1.50.

Advertisement

Harga baharu yang ditetapkan itu 50 sen lebih rendah berbanding sebelum ini yang berharga RM2.00 untuk sehelai topeng muka.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, harga tersebut akan berkuatkuasa bermula 1 April bersama-sama dengan beberapa perkara penguatkuasaan lain.

Antaranya termasuklah waktu operasi pasaraya, restoran, khidmat penghantaran makanan dan stesen minyak, iaitu bermula pada jam 8 pagi sehingga jam 8 malam sahaja.

Selain itu, kerajaan turut menggalakkan supaya rakyat menggunakan pembelian atas talian bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan lancar seperti yang diharapkan.

Bagaimanapun, langkah-langkah pencegahan termasuk penjarakan sosial mestilah dipatuhi ketika mengambil barang dari ‘rider’.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan PKP, di Putrajaya, hari ini. – HARAKAHDAILY 30/3/2020