Permintaan domestik mampu tumbuh dengan PRIHATIN

LAJNAH Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan berpandangan Pakej Prihatin yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri mampu untuk menyokong pertumbuhan permintaan domestik. Ini berasaskan bantuan yang amat substantif berjumlah RM128 billion yang disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat. Ini secara langsung boleh meningkatkan pendapatan boleh guna dikalangan pengguna.

Advertisement

Daripada statistik permintaan swasta (private consumption) menyumbang majoriti daripada permintaan domestic Malaysia, yang mana dalam suku ke empat 2019 ianya menyumbang 58.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Trend yang sama juga diperhatikan dalam tempoh daripada suku ke empat 2017 hingga lah suku ke empat 2019.

Justeru kami perpandangan strategi menyalurkan bantuan yang besar untuk sektor domestik adalah tepat untuk memastikan permintaan swasta terus tumbuh. Daripada analisa, kami menjangkakan permintaan swasta akan tumbuh pada kadar 9 peratus hingga 9.2 peratus untuk suku pertama 2020, naik daripada 8.0 peratus dan 7.1 peratus suku ke empat dan suku ke tiga 2019 masing-masing. 

Justeru rakyat haruslah menggunakan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan untuk terus berbelanja dengan berhemah dan tidak melakukan pembelian panik bagi mengelakkan tekanan inflasi.

Strategi Kerajaan yang juga menyalurkan bantuan internet percuma kepada semua pelanggan dan terus melabur untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan, juga boleh membantu pertumbuhan permintaan. Dalam tempoh PKP ini saluran secara konvensional mungkin sedikit terjejas. Justeru saluran digital harus digunakan sepenuhnya dengan menggunakan bantuan internet percuma ini.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat

5 Syabaan 1441H | 30 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 30/3/2020