PKP: 828 ditahan polis – Menteri

KUALA LUMPUR: Sejumlah 828 individu telah ditahan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui sekatan jalan raya serta rondaan kawasan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat semalam.

Advertisement

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, angka ini menunjukkan masih ramai yang ingkar dengan arahan PKP.

“Sebenarnya kalau dilihat tangkapan (semalam) semakin meningkat menunjukkan bahawa pihak polis mengambil tindakan tegas daripada biasa.

“Sasaran kita bukan untuk menambah tangkapan tetapi untuk mengurangkan tangkapan. Semakin banyak tangkapan setiap hari bermakna masih ramai rakyat kita yang tidak patuh arahan yang dikeluarkan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Menteri-Menteri hari ini.

Katanya, kerajaan mengambil tindakan tegas supaya sasaran dari sudut pematuhan rakyat terhadap PKP semakin bertambah dan jumlah tangkapan berkurang. – HARAKAHDAILY 30/3/2020