PRIHATIN: Kerajaan perlu cakna keluhan peniaga, majikan

DALAM pembentangan pakej PRIHATIN berjumlah RM250 bilion, Perdana Menteri telah memberikan komitmen bahawa ‘tiada siapa yang akan tercicir’ (no one will be left behind).

Advertisement

Namun apabila masih terdengar keluhan peniaga dan majikan yang merasakan nasib mereka sedikit terpinggir, maka ternyatalah hakikat bahawa ‘tiada satu ruang yang dapat memuatkan semua’ (one size doesn’t fit all).

Tanpa menafikan manfaat pakej #PrihatinRakyat yang sangat menyeluruh dan perlu disalurkan dengan segera, Kerajaan juga perlu cakna dengan keluhan segmen peniaga dan majikan yang merupakan ‘majikan terbesar’ dan ‘pemacu utama’ pertumbuhan ekonomi negara.

Ini kerana terlalu ramai peniaga kecilan yang berniaga di tepi jalan dan pasar malam, serta pengusaha SME yang menghasilkan pelbagai barangan, makanan dan perkhidmatan, sedang ‘bertarung’ dengan aliran tunai yang terbatas dan tanggungan kos yang tinggi, sehingga boleh menjejaskan kelangsungan (survival) perniagaan dalam tempoh sebulan dua ini.

Selain itu Kerajaan perlu turut memberikan perhatian kepada ‘keperitan kewangan’ yang ditanggung pengusaha swasta dalam sektor sosial yang tidak berorientasikan keuntungan seperti sekolah persendirian, pusat tahfiz dan institusi kebajikan, yang masih perlu menanggung kos operasi yang tinggi seperti pembayaran gaji guru dan sewaan bangunan.

Berdasarkan pengumuman Kerajaan dalam pakej PRIHATIN, terdapat banyak cadangan yang dikemukakan oleh persatuan peniaga dan majikan yang mewakili kesemua sektor, telah pun dipersetujui dan dilaksanakan oleh Kerajaan, antaranya:

  1. Penangguhan pembayaran pinjaman / pembiayaan bank selama 6 bulan;
  2. Penangguhan pembayaran dan pengurangan caruman KWSP dan Perkeso
  3. Penangguhan pembayaran cukai pendapatan kepada PKS;
  4. Pembiayaan / pinjaman mudah kepada PKS; dan
  5. Subsidi gaji kepada pekerja.

Namun adalah wajar sekiranya Kerajaan turut menambahbaik pakej PRIHATIN ini dengan mengemukakan suatu ‘Pakej Dayatahan’ (Resilience Package) yang lebih menyeluruh kepada segmen peniaga dan majikan bagi tempoh semasa-COVID19 dan fasa pemulihan ekonomi pasca-COVID19.

Antara cadangan penambahbaikan Pakej Prihatin yang wajar diberikan perhatian Kerajaan untuk menjamin dayatahan peniaga dan majikan adalah:

  1. Peningkatan Subsidi Gaji ke paras gaji minima RM1,200, ataupun mengikut kadar peratusan tertentu (60% – 80%) seperti yang dilaksanakan di kebanyakan negara luar.
  2. Pemberian Rebat atau Potongan Cukai Pendapatan kepada PKS, selain penangguhan bayaran cukai pendapatan yang telah diumumkan.
  3. Pengecualian Cukai yang lebih komprehensif kepada PKS dan sektor yang terjejas, seperti SST.
  4. Bantuan Tunai Khas secara ‘one-off’ kepada pengusaha sekolah swasta, pusat tahfiz dan institusi kebajikan bagi menampung kos pembayaran gaji dan sewaan bangunan.
  5. Penglibatan Dana Korporat (CSR), NGO dan Zakat untuk memberikan bantuan kewangan kepada peniaga kecil, PKS dan pengusaha swasta yang kesempitan wang dan hutang.

Hakikatnya sebuah ekonomi adalah suatu rantaian (value chain) yang saling memerlukan. Apabila suatu sektor terganggu maka seluruh rantaian akan terjejas.

Justeru semua pihak perlu memberikan kerjasama untuk menjayakan misi utama, iaitu mengekang penularan wabak dengan menghentikan jangkitan ke paras terendah (contain the pandemic), kerana ini sahaja yang dapat mengurangkan impak negatif COVID19 terhadap ekonomi rakyat dan negara.

SYAHIR SULAIMAN, Day#13 MCO-extended – HARAKAHDAILY 30/3/2020