Akhlak mendepani musibah

DALAM Surah al-Kahfi Allah memperlihatkan kepada kita cara berhadapan dengan keadaan realiti semasa hari ini. Selain kisah pemuda al-Kahfi yang menyusun strategi agar doa mereka diperkenan, juga kisah Zulqarnain yang bekerjasama dengan rakyatnya, terdapat dua lagi kisah yang perlu direnungi.

Insaf dengan tertahannya rezeki

Melalui Surah al-Kahfi, Allah merakamkan berkaitan pemilik dua kebun yang memiliki kemewahan hasil tanaman melimpah ruah. Dengan nikmat sedemikian menyebabkan wujud riak sombong dan bangga terhadap kekayaannya. Mendabik dada bahawa segala-galanya adalah berkat usaha keringatnya semata-mata. Lalu Allah datangkan petir menyebabkan semua hasil kebun itu musnah sekelip mata;

Advertisement

وَأُحِيطَ بِثَمَرِهِ فَأَصْبَحَ يُقَلِّبُ كَفَّيْهِ عَلَىٰ مَا أَنْفَقَ فِيهَا وَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا وَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي لَمْ أُشْرِكْ بِرَبِّي أَحَدًا

“Dan harta kekayaannya dibinasakan; lalu ia membolak-balikkan kedua tangannya (tanda menyesal) terhadap apa yang ia telah belanjakan untuk itu, sedang pohon anggur itu roboh bersama para-paranya dan dia berkata: “Aduhai kiranya dulu aku tidak mempersekutukan seorangpun dengan Tuhanku.”

[al-Kahf: 42]

Manifestasi ujian itu seakan-akan sama seperti apa yang kita alami saat ini. Siapa sangka, sejak berlakunya wabak pandemik COVID-19 kita diuji dengan tertahannya rezeki. Ada yang terputus pendapatan harian, tersekat untuk keluar makan, dan tidak kurang juga yang mengalami kemelesetan dalam perniagaan.

Bahkan dalam kajian sesetengah artikel mengatakan bahawa kita mungkin akan mengalami pasca COVID-19 yang lebih teruk berbanding wabak yang berlaku sekarang.

Justeru, apa yang perlu disedari adalah ia merupakan teguran dari Allah. Jentikan untuk kita yang mungkin alpa dengan nikmat yang ada. Barangkali lalai dengan materialistik dunia hingga terlupa kepada Kuasa Yang Memberi. Lalu, ujian ini mendidik kita untuk memandang aspek kehidupan orang lain yang lebih memerlukan. Bagaimana kita berkongsi nikmat dengan cara yang sederhana.

Didik sabar dan sangka baik

Semasa menempuh perjalanan yang panjang bersama Yusha’ bin Nun, Nabi Musa telah menunjukkan contoh yang baik bersama pelapisnya itu. Baginda walaupun seorang Rasul tetapi masih merendahkan diri dalam menuntut ilmu. Dalam mencari makna kebenaran, Nabi Musa telah menekankan aspek adab. Baginda tidak sedikitpun membebankan Nabi Khidir malah menggunakan laras bahasa yang sesuai ketika berkomunikasi. Akhlak ini yang mendatangkan rahmat dari Allah beriringan dengan ilmu;

قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا

“Nabi Musa berkata kepadanya (Khidir): Bolehkah aku mengikutmu, agar dengannya engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”

[al-Kahf: 66]

Sepanjang proses tempoh PKP yang kita hadapi, elemen pendidikan cukup memainkan peranan penting yang perlu dimuhasabah. Bagaimana ibu bapa mampu memberi tauladan yang baik sepanjang berada di rumah. Bagaimana proses komunikasi sesama ahli keluarga itu dipraktikkan. Semua ini memberi impak dalam menatijahkan institusi keluarga yang utuh.

Selain itu, perlu diketahui bahawa isu perjalanan Nabi Musa, Yusha’ dan Nabi Khidir bukan semata-mata kisah pengorbanan dalam mencari ilmu. Hakikatnya ia adalah isu bersabar dengan segala ketentuan Allah Taala;

قَالَ فَإِنِ ٱتَّبَعْتَنِى فَلَا تَسْـَٔلْنِى عَن شَىْءٍ حَتَّىٰٓ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا

“Ia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu.”

[al-Kahf: 70]

Allah Taala merencanakan bahawa setiap apa yang berlaku mempunyai sebab tersendiri. Tuan pemilik perahu, perahunya tidak lagi dirampas kerana bocor. Ibu bapa kehilangan anak menjadi asbab keimanan mereka terselamat. Dua anak yatim yang dibantu, memang akan terjaga hartanya sehingga dewasa kelak.

Ada perkara yang Allah berikan pahit dahulu seperti perahu bocor, anak meninggal dunia. Ada perkara Allah beri sudah jelas nampak kebaikannya seperti membina dinding yang hampir roboh. Kesimpulannya, semua itu akan menghala kepada kebaikan.

Berdoa memohon ampun

Orang Islam yang menyedari bahawa perkara yang berlaku hari ini merupakan bala dari Allah akan memperbanyakkan istighfar memohon ampun. Berdoa untuk kebaikan semua umat Islam agar bala ini dapat segera diangkat.

Hentikan troll, sindrom sinisme terhadap perkara yang sepatutnya diinsafi tidak lagi dijadikan bahan jenaka. Jauhkanlah diri dan keluarga dari racun maksiat. Ia menambah nilai kelalaian.

Sewaktu berlindung di dalam gua, pemuda al-Kahfi berdoa dengan satu doa yang boleh dijadikan pedoman kita hari ini.

إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

“(Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini).”

[al-Kahf: 10]

Rahmat yang dimaksudkan ialah perlindungan, rezeki, petunjuk, kesabaran dan keampunan. Kualiti penghayatan doa ini akhirnya menyebabkan tubuh badan mereka terjaga dari sudut fizikal sehingga 309 tahun lamanya.

Bahkan yang kita dambakan bukan semata-mata selamat fizikal dari wabak penyakit tetapi benar-benar mendapat keampunan, belas kasihan dan redha Allah Taala. Itu kunci keselamatan sebenar.

NAJWA ZAKARIA – HARAKAHDAILY 31/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.