Lanjutan tempoh PKP: Rust-out

PENGUMUMAN khas oleh Perdana Menteri berkaitan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020 menerima pelbagai respons dari rakyat Malaysia yang rata-ratanya tidak senang. Bukan kerana mahu membantah arahan kerajaan, tetapi dua minggu pertama pun sudah cukup sukar dan membosankan, bagaimana ingin berdepan dengan dua minggu akan datang.

Jika hero barisan hadapan negara sudah mula burnout kerana tekanan kerja yang melampau, rakyat Malaysia yang isolasi di rumah pula sudah menunjukkan simptom bosan melampau yang boleh membawa kepada rust-out (karat upaya).

Burnout adalah perasaan lelah yang terhasil dari tekanan ekstrem. Rust-out pula adalah terma psikologi yang sering dibincangkan dalam bidang kerjaya. Isu emosional akibat rust-out mula timbul apabila individu hidup tanpa tekanan atau tahap tekanan yang sangat minimum sehingga rasa bosan yang melampau dan rasa ‘tidak function’ sebaiknya disebabkan pengulangan rutin yang sama dan tiada cabaran. Ringkasnya, kelelahan kerana di zon yang terlampau selesa.

Advertisement

Percaya atau tidak walaupun faktor pencetus burnout dan rush-out berbeza total, namun kesannya secara emosional hampir sama iaitu rasa lesu, kurang motivasi, frustrasi, daya kognitif yang mula tumpul, hubungan sosial yang mula merudum dan emosi negatif yang lain.

Pernahkah kita melalui perasaan tersebut setelah melalui rutin yang sama setiap hari? Sama ada rutin yang terlalu padat atau rutin yang terlalu santai, keduanya boleh membawa kepada stres kronik. Untuk mengatasi masalah tersebut, kita hendaklah bijak mengatur jadual sepanjang PKP dengan perkara yang bermanfaat agar stres berada di tahap optimum. Tidak terlalu minimum dan tidak terlalu maksimum, perlu seimbang.

Bukankah waktu itu nikmat berharga yang perlu disyukuri dengan mempertingkatkan iman kepadaNya? Ibnu Qayyim al-Jauzi berkata:

“Membuang waktu lebih berbahaya dari kematian, kerana mensia-siakan waktu akan memutuskanmu dari Allah dan negeri akhirat, sedangkan kematian hanya memutuskan dirimu dari dunia dan penduduknya”

Teruslah tetap di rumah, akur menerima perintah dari kerajaan sebagai tanda kerjasama terhadap kebijakan yang diambil oleh pemimpin negara. Dalam masa yang sama memberi perhatian bukan saja pada kesihatan fizikal, tetapi mental dan spiritual. Moga Allah tunjukkan jalan keluar kepada kita semua.

AINA MOKHTAR – HARAKAHDAILY 31/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.