Pencemaran udara berkurang sepanjang PKP tahap 1

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah membuat satu analisis terperinci ke atas beberapa parameter utama iaitu Nitrogen Dioksida (NO2), Sulfur Dioksida (SO2), Karbon Monoksida (CO) dan habuk halus bersaiz diameter 2.5 mikron (PM2.5).

Advertisement

Menteri Alam Sekitar, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, pemerhatian dilakukan di stesen pengawasan kualiti udara iaitu di Batu Muda dan Cheras di Kuala Lumpur serta Wilayah Persekutuan Putrajaya bagi tempoh 1 Mac hingga 30 Mac 2020.

“Sejak penguatkuasaan PKP Tahap Pertama, trend bacaan pencemaran udara bagi Nitrogen Dioksida, Sulfur Dioksida, Karbon Monoksida dan habuk halus bersaiz diameter 2.5 mikron di ketiga-tiga kawasan tersebut telah berlaku penurunan yang signifikan.

“Penurunan 55 hingga 68 peratus bagi Nitrogen Dioksida; penurunan 17 hingga 34 peratus bagi Sulfur Dioksida; penurunan 6 hingga 15 peratus bagi Karbon Monoksida; dan penurunan 6 hingga 14 peratus bagi habuk halus 2.5 mikron,” bentangnya.

Selain itu kata beliau, JAS juga turut meluaskan analisis di stesen pengawasan kualiti udara di beberapa bandar utama seperti Shah Alam, Ipoh, Pulau Pinang, Kuantan, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu bagi tempoh yang sama.

Dapatan juga ujar beliau, menunjukkan penurunan ketara iaitu Nitrogen Dioksida antara 11 hingga 62 peratus, Sulfer Dioksida antara 5 hingga 22 peratus, Karbon Monoksida antara 2 hingga 25 peratus dan habuk halus 2.5 mikron antara 2 hingga 23 peratus.

Terangnya, tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sahaja dapat memutuskan rantaian COVID-19, malah dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar, ekoran pengurangan aktiviti seperti pelepasan asap kenderaan, asap cerobong industri dan pembakaran terbuka.

Bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk di laman web JAS di pautan http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi  MyIPU di Android ‘Google Play’ dan di Apple ‘App Store’.

Rakyat juga dinasihatkan beliau agar tidak melakukan pembakaran terbuka untuk mengurangkan risiko cuaca panas dan kering buat masa ini kerana boleh disabitkan kesalahan menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” nasihatnya.

Kerjasama orang ramai juga diminta melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727. – HARAKAHDAILY 31/3/2020