PKP kedua akan lebih tegas – Menteri

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) peringkat kedua akan mula berkuatkuasa esok dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) akan lebih ketat dan tegas.

Advertisement

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah ini diambil supaya pematuhan rakyat terhadap PKP secara keseluruhan.

Menurutnya, semalam pihak polis telah menahan seramai 742 individu melalui sekatan jalan raya dan rondaan yang dilakukan.

“Jumlah itu menunjukkan terdapat penurunan daripada sebelum ini. Ia mengambarkan rakyat semakin sedar tentang perlunya mematuhi setiap arahan kerajaan.

“Saya berharap trend penurunan ini (tangkapan) berterusan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Menteri-Menteri bagi penyelarasan penguatkuasaan PKP fasa kedua hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa seramai 165 individu telah dituduh di mahkamah yang mana 6 daripada mereka telah dijatuhkan hukuman denda atau penjara.

Jelasnya, di Sarawak tempoh penjara yang dijatuhkan kepada pesalah yang ingkar PKP adalah selama 1 hingga 4 bulan sekiranya disabitkan kesalahan.

“Saya harap semua rakyat perlu melihat perintah ini sebagai perintah yang serius jadi patuhilah kepada setiap arahan sekiranya tidak mahu masuk penjara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/3/2020