PKP: PAS Sik beri bantuan makanan asas

AGIHAN 3,000 paket makanan asas fasa kedua anjuran PAS Kawasan Sik – sumbangan Ahli Parlimen Sik, ADUN Jeneri, Adun Belantek dan para dermawan akan dimulakan esok melalui Ketua-ketua Cawangan PAS. Ia mungkin memakan masa 2-3 hari.

1000 paket makanan asas lagi diserahkan kepada Umno Bahagian Sik (tambahan kepada paket yang mereka sediakan) untuk edaran melalui rangkaian Umno Bahagian Sik.

Kami merakamkan jutaan terima kasih kepada para penderma dan petugas yang bertungkus lumus menyediakan pembelian dan pembungkusan paket sejak beberapa hari lalu.

Kami sedar, jumlah ini tidak mungkin cukup untuk semua keluarga yang sedang mengalami kesempitan sempena Perintah Kawalan Pergerakan ini. InsyaAllah giliran anda akan tiba sama ada melalui kami atau agensi lain yang turut membuat edaran makanan asas.

Advertisement

Kami berharap akan ada keupayaan kewangan dari pelbagai sumber untuk kami laksanakan sumbangan Fasa 3 selepas ini – untuk keluarga lain pula.

Panduan Pengagihan dan pemilihan penerima yang diberikan kepada Ketua-ketua Cawangan PAS adalah seperti berikut:

(1) Utamakan keluarga miskin, dhaif, ibu tunggal, OKU dan yang terputus bekalan makanan asas akibat PKP COVID-19.

(2) Keutamaan penerima sumbangan adalah keluarga yang belum pernah menerima sumbangan pihak lain (zakat, Kerajaan Negeri dan NGO).

(3) Sebuah keluarga hanya diberi satu paket makanan asas.

(4) Tidak boleh mengambil kira kecenderungan parti politik penerima. Semua yang layak patut dipilih. Mengutamakan adik-beradik dan kronisme (yang tidak layak) tidak dibenarkan.

(5) Penerima mestilah yang tinggal di cawangan atau kampung tuan sahaja.

(6) Bekalan makanan adalah terhad, bergantung kepada dana terkumpul daripada penyumbang.

(7) Langkah keselamatan hendaklah dipraktikkan ketika proses penyerahan sumbangan. Jaga jarak, pakai face mask, sentiasa cuci tangan dengan air dan sabun, elakkan bersentuhan (salam), dan tidak berkumpul di satu lokasi. Tidak dibenarkan berbual.

(8) Maklumat penerima (nama, nombor kad pengenalan dan alamat) perlu diserahkan kepada pihak PAS Kawasan sebagai rekod yang akan dikongsi dengan agensi lain supaya tidak berlaku penerima berganda. Mengambil gambar serahan adalah digalakkan sebagai bukti penyerahan.

Terima kasih.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR – HARAKAHDAILY 31/3/2020