PKP: Patuhi arahan agar Aidilfitri dapat dirai

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diminta supaya mematuhi semua arahan yang dikeluarkan pihak kerajaan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya ingin menyambut Aidilfitri seperti biasa.

Advertisement

Ia berikutan ramai yang kini bimbang dan mempersoalkan adakah PKP fasa ketiga dan keempat akan dilaksanakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Ismail Sabri berkata yang memastikan perkara tersebut berlaku atau tidak terletak kepada tindakan rakyat sendiri.

“Ramai yang tertanya apakah pada bulan puasa PKP akan terus dilaksanakan? Bolehkah kita berhari raya dan sebagainya. Saya tahu ramai rakyat ingin kembali kepada kehidupan biasa,

“Yang boleh memastikan tiada PKP ketiga atau keempat dan membolehkan kita berhari raya seperti biasa, adalah tuan-tuan dan puan-puan sendiri,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau memberi keyakinan bahawa kebimbangan tersebut boleh diatasi sekiranya rakyat dapat mematuhi arahan yang dibuat oleh kerajaan.

HARAKAHDAILY 31/3/2020