UC-TATI bebas COVID-19 – Prof Anuar

KUALA TERENGGANU: Kesemua kakitangan dan pelajar Universiti College-TATI (UC-TATI) disahkan bebas gejala jangkitan wabak COVID-19, setelah tamat tempoh saringan kuarantin.

Advertisement

Rektor UC-TATI, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, pada 10 dan 11 Mac lalu telah berlangsung Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI 2020) dengan kerjasama antara UMT (Universiti Malaysia Terengganu), UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin) dan UC-TATI.

Katanya, UC-TATI pula menjadi tuan rumah bagi MPI 2020 yang berlangsung di Dewan Canselor UC-TATI, Kijal, Kemaman.

“Alhamdulliah, saya ingin merakamkan rasa syukur kehadrat Allah SWT, kerana tiada pelajar dan staf (kakitangan) UC-TATI positif COVID-19.

“Pada 10 dan 11 Mac, UC-TATI menjadi tuan rumah Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI 2020) dengan kerjasama di antara UMT, UniSZA dan UC-TATI.

“Salah seorang juri daripada IPTA (Institusi Pengajian Tinggi Awam) telah disahkan positif COVID-19 selepas itu,” ujarnya adalam satu kenyataan kepada Harakah, hari ini.

Justeru, kata beliau amat bimbang kemungkinan berlaku jangkitan di kalangan peserta yang melibatkan 445 produk inovasi serta hampir 2000 pengunjung dan peserta yang terlibat.

Menurutnya, pada malam 13 Mac 2020 pihak UC-TATI telah mengadakan solat sunat hajat bersama-sama pelajar Huffaz Fast Track SPM dan memohon kepada Allah semoga semua warga UC-TATI dilindungi daripada wabak Covid-19.

“Hari ini adalah hari terakhir untuk semua pelajar dan kakitangan yang terlibat dalam program MPI 2020 menjalani ‘self-quarantine’.

“Saya berdoa semoga semua warga UC-TATI sentiasa dalam keadaan tenang serta menjaga kesihatan dan kebersihan.

“Berusahalah untuk solat diawal waktu, melaksanakan solat-solat sunat dan membaca Al-Quran serta jangan berhenti berdoa,” jelasnya.

Katanya, penularan wabak pandemik Covid-19 itu telah meragut sebanyak 43 nyawa dan 2,766 kes disahkan positif di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 2/31/3/2020