UMK tungkus lumus siap set perlindungan diri

BACHOK: Sukarelawan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bertungkus lumus sejak beberapa hari bagi menyiapkan set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) untuk dibekalkan kepada petugas barisan hadapan.

Peralatan tersebut iaitu PPE Suit sebanyak 100 unit, 3D Face Shield Visor (157 unit) dan cecair pembasmi kuman (10 unit) dibekalkan kepada Bulan Sabit Merah Malaysia Kelantan (BSMM).

Advertisement

Naib Canselor UMK, Prof Dato’ Dr Noor Azizi Ismail berkata, pihaknya mengambil inisiatif menyumbang kepakaran untuk menyediakan set lengkap PPE untuk keperluan barisan hadapan dalam usaha bersama melandaikan jangkitan Covid-19.

Katanya, peralatan itu antara produk inovasi yang terdapat dalam UMK Cares COvid-19 Kit.

“Ini adalah sebagai satu sumbangan ikhlas yang dilaksanakan UMK untuk bersama-sama membantu semua pihak termasuk pelbagai agensi di Kelantan seperti petugas hospital, pegawai polis dan sebagainya,” katanya di sini semalam.

UMK Cares Covid-19 Kit tersebut diserah kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pembangunan), Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal selaku Penasihat BSMM Kelantan.

Majlis terbabit diadakan di Bengkel Fakulti Teknologi Kreatif Dan Warisan (FTKW), UMK Bachok.- HARAKAHDAILY 31/3/2020