COVID-19: Mengusahakan amalan yang menolak bala

DOA DAN rintihan

Doa merupakan ibadah yang asas. Malah Allah S.W.T memerintahkan hamba-Nya untuk berdoa dan Dia suka akan hamba-Nya berterusan dalam merintih dan doa. Doa dan bersih dari dosa dan perkara keji akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T.

Umat Islam perlu berdoa dan menjaga adab-adab berdoa agar doa yang dirintihkan itu diterima oleh Allah S.W.T. Antara adab doa agar diterima ialah:

(1) Beriman dan berbuat baik.

Advertisement

Firman Allah S.W.T:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِی عَنِّی فَإِنِّی قَرِیبٌۖ أُجِیبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِۖ فَلۡیَسۡتَجِیبُوا۟ لِی وَلۡیُؤۡمِنُوا۟ بِی لَعَلَّهُمۡ یَرۡشُدُونَ

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”

[al-Baqarah: 186]

(2) Doa dalam keadaan tunduk patuh dan menghinakan diri di hadapan Allah, serta jangan ada sikap takabur.

Firman Allah S.W.T:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِیۤ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ إِنَّ ٱلَّذِینَ یَسۡتَكۡبِرُونَ عَنۡ عِبَادَتِی سَیَدۡخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِینَ

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

[Ghafir: 60]

(3) Bersihkan diri dari dosa dan jangan ada dosa memutuskan silaturahim.

Abu Said meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ : إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهَا ، قَالُوا : إِذًا نُكْثِرُ ؟ قَالَ : اللَّهُ أَكْثَرُ

“Tiada seorang Islam berdoa dengan satu doa yang tiada padanya unsur dosa dan putus silaturahim kecuali Allah kurniakan kepadanya salah satu daripada tiga iaitu sama ada disegerakan doanya, ditangguhkannya untuk hari akhirat atau dihilangkan daripadanya kejahatan seumpamanya. Kemudian Sahabat berkata: ‘Kalau begitu, kami akan membanyakkannya. Sabda Baginda: “Ya, perbanyakkanlah.””

(Riwayat Ahmad)

Setiap umat mestilah berusaha memastikan 3 adab di atas ini dipelihara bagi memastikan amalan doa tersebut diterima dan permintaan menerusi rintihan doa tersebut dimakbulkan oleh Allah. Dalam masa yang sama terus baik sangka pada Allah kerana Allah memakbulkan doa dengan 3 cara:

(i) Disegerakan di dunia.
(ii) Disimpan ke akhirat.
(iii) Diganti dengan dihilangkan dari kejahatan seumpamanya.

Semoga dengan rintihan doa ini Allah kurniakan kebaikan dengan melenyapkan wabak COVID-19 ini. Kekuatan doa ini disebutkan oleh Baginda S.A.W agar umat Islam tidak putus dan berhenti dari berdoa.

Salman meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلاَّ الدُّعَاءُ، وَلاَ يُزِيْدُ فِى الْعُمْرِ إِلاَّ الْبِرُّ

“Tidak ditolak satu-satu ketentuan melainkan dengan doa. Tidak ditambah pada umur kecuali dengan kebajikan.”


(Riwayat al-Tirmizi)

Memberikan sedekah

Benar dalam tempoh krisis COVID-19, dengan dilanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April memberikan kesan umum semua pihak dari sudut ekonomi dan kewangan, namun jangan sehingga terus dilupai amalan bersedekah. Bersedekahlah pada kemampuan. Ini kerana amalan sedekah juga antara fadhilatnya ialah menolak bala.

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ إِنَّ الصَّدَقَةَ لَتُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ وَتَدْفَعُ مِيتَةَ السُّوءِ ‏

“Sesungguhnya sedekah itu memadamkan kemurkaan Tuhan dan mencegah dari kematian yang buruk.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Al-Harith al-Asy’ari meriwayatkab bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَمَرَ يَحْيَى بْنَ زَكَرِيَّا بِخَمْسِ كَلِمَاتٍ أَنْ يَعْمَلَ بِهَا وَيَأْمُرَ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنْ يَعْمَلُوا بِهَا وَإِنَّهُ كَادَ أَنْ يُبْطِئَ بِهَا فَقَالَ عِيسَى : …. وَآمُرُكُمْ بِالصَّدَقَةِ فَإِنَّ مَثَلَ ذَلِكَ كَمَثَلِ رَجُلٍ أَسَرَهُ الْعَدُوُّ فَأَوْثَقُوا يَدَهُ إِلَى عُنُقِهِ وَقَدَّمُوهُ لِيَضْرِبُوا عُنُقَهُ فَقَالَ أَنَا أَفْدِيهِ مِنْكُمْ بِالْقَلِيلِ وَالْكَثِيرِ فَفَدَى نَفْسَهُ مِنْهُمْ….

“Sesungguhnya Allah memerintahkan lima kalimat kepada Yahya bin Zakariya agar diamalkan dan memerintahkan Bani Israil supaya mengamalkannya, dan sesungguhnya ia hampir saja memperlambatnya. Isa berkata; … aku juga memerintahkan kalian bersedekah, perumpamaannya seperti seseorang yang ditawan musuh, mereka membelenggu tangannya ke leher, mereka lalu memajukannya untuk ditebas lehernya, kemudian ia berkata; “Aku menebusnya dari kalian dengan yang sedikit dan yang banyak, ” lalu tawanan tersebut menebus dirinya dari mereka…”

(Riwayat al-Tirmizi)

Berdasarkan Hadis di atas ia menjelaskan fadhilat iaitu:

(1) Menghilangkan kemurkaan Allah.
(2) Melepaskan diri dari perkara yang membelenggu.

Dalam situasi COVID-19, maka kita mengharapkan agar ia bukan kemurkaan Allah yang menimpa kita dan dengan amalan bersedekah mudah-mudahan dengan izin-Nya Allah menghilangkan kehidupan ini dari belenggu wabak ini yang mengancam jiwa.

Mendirikan solat terutama qiyamullail

Adalah menjadi tuntutan ke atas umat Islam dalam berhadapan dengan situasi sulit dan kesusahan untuk bersabar dan memohon pertolongan dari Allah menerusi ibadah solat. Ini kerana iktikad umat Islam bahawa Allah Maha Besar dan Dia yang menentukan segala-galanya. Maka memohon pertolongan Allah di samping usaha wajib manusia adalah tanda kehambaan kita dan pergantungan kepada-Nya.

Firman Allah S.W.T:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱسۡتَعِینُوا۟ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِینَ

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”

[Al-Baqarah: 153]

Walaupun begitu, hakikatnya bukan semua orang mampu nak merasai kebergantungan kepada Allah menerusi solat yang didirikan. Ini kerana faktor antaranya kelalaian dan tidak merasai lazat dalam ibadah. Sebab itu, solat ini berat kecuali bagi mereka khusyuk iaitu menghadirkan diri bersekali dalam ibadah dan merasai fokus serta nikmat dalam ibadah tersebut.

Firman Allah S.W.T:

وَٱسۡتَعِینُوا۟ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ وَإِنَّهَا لَكَبِیرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَـٰشِعِینَ

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”

[al-Baqarah: 45]

Malah mendirikan solat khususnya ketika berlaku urusan sulit bagi memohon pertolongan Allah merupakan Sunnah Rasulullah S.A.W. Baginda S.A.W merupakan teladan terbaik, maka dalam situasi wabak ini yang membimbangkan ini wajar kita umat Baginda S.A.W menurut Baginda S.A.W.

Huzaifah al-Yaman meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ علَيهِ وسلَّمَ إذا حزَبه أمرٌ صلَّى

“Apabila Rasulullah S.A.W ditimpa masalah, Baginda S.A.W bersegera solat.”

(Riwayat Abu Daud)

Mendirikan solat memohon pertolongan Allah S.W.T boleh dibuat pada bila-bila masa terutamanya dengan cara:

(1) Qiyamullail, di akhir 1/3 malam kerana ia waktu yang rahmat Allah dekat dan amalan orang soleh yang dititik beratkan.

Abu Umamah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ ، فَإِنَّهُ دَأْبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ ، وَهُوَ قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ ، وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ ، وَمَنْهَاةٌ لِلإِثْمِ

“Hendaklah kalian melaksanakan qiyamullail (solat malam) kerana solat malam adalah kebiasaan orang soleh sebelum kalian dan membuat kalian lebih dekat pada Allah. Solat malam dapat menghapuskan kesalahan dan dosa.”

(Riwayat al-Tirmizi)

(2) Niat solat hajat secara khusus pada bila-bila masa kecuali pada waktu yang ditegah solat iaitu lepas solat Subuh dan selepas solat Asar.

Ibn Abu Awfa meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ كَانَتْ لَهُ حَاجَةٌ إِلَى اللَّهِ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ خَلْقِهِ فَلْيَتَوَضَّأْ وَلْيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ

“Sesiapa yang mempunyai sebarang hajat kepada Allah atau kepada salah seorang daripada makhluk-Nya, maka hendaklah dia berwuduk dan kemudiannya solat dua rakaat.”

(Ibn Majah)

Memperbanyakkan istighfar

Perincian berkenaan istighfar secara lanjut boleh dirujuk pada artikel lepas di:
https://www.facebook.com/475905066100435/posts/1082932818730987/

Secara asasnya, keutamaan istighfar dan fadhilatnya ialah:

(1) Mengampuni dosa dan melapangkan kehidupan dari kesulitan.
(2) Amalan para Anbiya’.
(3) Sunnah Rasulullah S.A.W sehari lebih 70 kali.

Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W:

مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا ، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا ، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

“Sesiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah S.W.T akan menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, dan daripada setiap kebimbangannya itu kelapangan dan dikurniakan kepadanya rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka.”

(Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad)

Memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah S.A.W

Memperbanyakkan selawat juga antara amalan yang memberikan fadhilatnya menolak bala. Malah berselawat tidak hanya pada waktu susah dan hanya untuk menolak kesusahan di dunia sahaja. Malah berselawat juga dijanjikan mendapat syafaat Baginda S.A.W di hari akhirat yang menyelamat dari azab mahsyar dan akhirat.

Ubai bin Kaab meriwayatkan:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلَاةَ عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلَاتِي فَقَالَ مَا شِئْتَ قَالَ قُلْتُ الرُّبُعَ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ النِّصْفَ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قَالَ قُلْتُ فَالثُّلُثَيْنِ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ أَجْعَلُ لَكَ صَلَاتِي كُلَّهَا قَالَ إِذًا تُكْفَى هَمَّكَ وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ingin membanyakkan berselawat kepadamu. Dari itu, berapa banyakkah dari doaku perlu aku jadikan untuk berselawat kepadamu?” Rasulullah menjawab: “Terserah kepadamu.” Aku pun berkata: “Adakah satu perempat darinya?” Rasulullah menjawab: “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku berkata: “Adakah separuh daripadanya?” Rasulullah menjawab: “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu. Aku berkata: “Adakah dua pertiga?” Rasulullah menjawab: “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku pun berkata: “Aku jadikan semua doaku untukmu.” Baginda bersabda: “Sekiranya begitu, akan dicukupkan semua keinginanmu dan diampuni semua dosamu.”

(al-Tirmizi)

Selawat adalah ibadah yang sangat besar sekali malah sebagai salah satu tanda mencintai Baginda S.A.W. Nescaya memperolehi kecintaan Baginda S.A.W maka akan memperolehi kecintaan dari Allah dan diampun dosa dari-Nya.

Bila Allah S.W.T mengasihi seseorang hamba-Nya maka seluruh penghuni langit akan mengasihi dan Allah melindunginya dan memakbulkan permintaannya.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا أَحَبَّ اللَّهُ الْعَبْدَ نَادَى جِبْرِيلَ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلَانًا فَأَحْبِبْهُ فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ فَيُنَادِي جِبْرِيلُ فِي أَهْلِ السَّمَاءِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلَانًا فَأَحِبُّوهُ فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي الْأَرْضِ

“Apabila Allah mencintai seorang hamba maka Dia menyeru, sesungguhnya Allah mencintai fulan maka cintailah ia. Lalu Jibrail mencintainya. Kemudian Jibrail menyeru penghuni langit, sesungguhnya Allah mencintai fulan maka cintailah ia oleh kalian. Lalu penghuni langit mencintainya. Kemudian diberikan padanya penerimaan di bumi.”

(Hadis Riwatat Al-Bukhari dan Muslim)

Melakukan kebajikan dan membantu orang lain

Dalam situasi sekarang, setiap orang perlu menjaga kebajikan diri dan keluarga sama ada dari sudut kesihatan agar tidak terjebak dengan wabak COVID-19 yang membahayakan nyawa. Dalam tempoh Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) ini yang telah dilanjutkan, kita terutama yang ada kelebihan juga wajar melihat kaum kerabat dan jiran sekeliling yang khususnya adalah masalah kewangan untuk saling tampung menampung.

Amalan membantu dan meringan bebanan kesusahan orang lain itu kebaikan kembali kepada kita. Allah membalas kebaikan kepada orang lain yang dilakukan dengan keringanan dan pelepasan dari bebanan.

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

صنائعُ المعروفِ تقي مصارعَ السوءِ و الآفاتِ و الهلكاتِ، و أهلُ المعروفِ في الدنيا همْ أهلُ المعروفِ في الآخرةِ

“Amal-amal kebajikan dapat mencegah kejahatan yang akan menimpa, wabak penyakit dan kebinasaan. Dan ahli-ahli kebajikan di dunia merekalah juga ahli kebajikan di akhirat.”


(Riwayat al-Hakim)

Ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ

“Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah S.W.T akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah S.W.T akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maka, setiap orang pastinya terkena namun kita berharap tempoh ini terhad dan perlu bersabar. Di samping itu, mudah-mudahan kerja kebajikan terus disebarkan dalam konteks mematuhi SOP keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agar tidak menimbulkan sebarang risiko susulan pula. Dan semoga kerja-kerja kebaikan yang berterusan ini menjadi asbab untuk Allah melenyapkan musibah wabak COVID-19 ini.

Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 1/4/2020