MB, Exco Kelantan potong gaji 2 bulan

KOTA BHARU: Anggota Exco kerajaan Kelantan turut menyumbang dua bulan gaji melalui Tabung Serambi Mekah sebagai menzahirkan simpati terhadap penduduk yang terjejas ekoran wabak Covid-19 masih menular sekarang.

Advertisement

Pemotongan gaji itu turut membabitkan Menteri Besar dan timbalannnya.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pemotongan gaji dua bulan itu dibuat pada mesyuarat Exco hari ini.

Selain itu katanya bantuan kerajaan negeri kepada golongan yang memerlukan sebanyak RM20,000 kepada setiap Dun melalui Pusat Khidmat Dun (PKD).

“Keputusan tersebut adalah menzahirkan komitmen pimpinan kerajaan negeri untuk sama-sama meringankan bebanan rakyat ketika ini,” katanya di sini.

Sebelum ini kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak yang menular sekarang.

Sebanyak 50 penduduk miskin di setiap Dun disumbang wang tunai RM200 dan barangan keperluan asas bernilai RM100 yang turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).- HARAKAHDAILY 1/4/2020