Apa motif LKS unjur kematian melampau tinggi?

ANGKA kematian akibat COVID-19 yang diunjurkan terlampau tinggi oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang (LKS) berbanding realiti serta semua kajian dan unjuran sedia ada dilihat mengarah kepada motif tertentu. Walaupun beliau kemudiannya bertindak membuat ‘pusingan-U’ dengan menyifatkan jangkaan JP Morgan mungkin silap, namun unjuran awal Kit Siang menyerlahkan sikap parti tersebut.

Advertisement

Selain cuba untuk meremehkan usaha kerajaan, setidak-tidaknya Kit Siang seperti mahu menidakkan keupayaan pasukan perubatan dan kesihatan negara menangani pandemik COVID-19. Bahkan seolah-olah mahu menghasut dengan menampakkan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan yang melibatkan angkatan besar pihak keselamatan dan penguatkuasaan negara mesti dipertikai.

Walhal, inilah satu lagi petunjuk betapa DAP tidak pernah meyakini keupayaan, pengalaman dan kepakaran anggota perkhidmatan awam yang menjadi tulang belakang negara. Sungguhpun telah terbukti komitmen barisan hadapan negara ini hingga menerima sanjungan #HeroKita, tetapi DAP masih mahu menghembuskan kecurigaan dan kesangsian terhadap bakti sedang dicurahkan.

Unjuran Kit Siang juga menunjukkan beliau dan partinya DAP tidak bersolidariti bersama seluruh rakyat yang sedang menyatakan sokongan padu kepada ‘frontliners’ dalam memerangi ancaman COVID-19. Jauh sekali DAP dari menzahirkan penghargaan yang patriotik kepada perkhidmatan awam, malah sejak sekian lama diketahui secara terang-terangan sangat cenderung memusuhi.

Mungkin jika PH terus berkuasa, perkhidmatan awam hanya akan menjadi khadam suruhan. Kes rusuhan di Kuil Sri Mariamman Seafield, penjawat awam yang disalahkan dan menjadi korban. Kelemahan Menteri PH dalam pengurusan, tetapi yang ditukar adalah Ketua Setiausaha Kementerian. Selain mahu hapuskan elaun kritikal serta mengurangkan jumlah para penjawat awam.

Semua ‘tragedi’ dan agenda tersebut sangat sensitif bukan sahaja kepada penjawat awam, bahkan rakyat seluruhnya yang sangat melekat di minda dan catatan sejarah di mana berlaku di ‘zaman gelap’ pemerintahan PH. Namun, ketika PH sudahpun runtuh ketika ini, pemimpin DAP seperti Kit Siang rupanya masih menunjukkan sombong angkuh memperolokkan reputasi sedang dicapai.

Sepatutnya, kesetiaan dan pengorbanan barisan hadapan negara ini dalam tugasan diberi sanjungan dan dorongan. Apatah lagi unjuran profesional banyak pihak juga terlihat bakal meleset dan tersasar kali ini dengan strategi bersepadu yang dilaksanakan dalam mengekang COVID-19. Data terbaru menunjukkan Malaysia sedang merintis kejayaan untuk memutuskan rantaian penularan wabak itu.

Ia bakal menyelamatkan Malaysia dari ancaman buruk lagi menakutkan, setelah negara juga berjaya ‘diselamatkan’ daripada kancah politik bawaan PH sebelum ini. Namun, kewaspadaan mesti ditingkatkan selagi DAP tegar dengan sikapnya. Mungkin juga siasatan perlu dilakukan, apakah mereka turut merencanakan untuk pandemik tersebut terjadi atau menjadikannya suatu krisis? – HARAKAHDAILY 2/4/2020