COVID-19: Muhyiddin cekal satukan negara

Walau dituduh 'kerajaan pintu belakang'

covid

PENDAHULUAN

Hampir semua Kerajaan di dunia sedang berhempas pulas menangani penularan wabak COVID-19, yang telah bermula pada hujung tahun lepas. Penularan wabak ini adalah amat dahsyat dan telah mengubah rutin penduduk dunia secara amat drastik sekali.

Malaysia juga sedang berusaha keras untuk menamatkan rantaian jangkitan wabak tersebut dengan langkah-langkah drastik, termasuklah mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada rakyatnya sejak dua minggu lepas. Dan ia disambung untuk dua minggu lagi.

Advertisement

Menangani COVID-19 ketika kegawatan politik masih belum reda sepenuhnya

Minggu terakhir Februari tahun ini, Malaysia mengalami kegawatan politik yang luar biasa. Kerajaan PH telah tumbang secara mengejut tanpa disangka-sangka. Pakatan Nasional (PN) akhirnya telah mengambil tampuk pentadbiran Kerajaan secara rasmi dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM ke-8 di Istana Negara pada 1 Mac lepas.

Sebaik dilantik, Tan Sri Muhyiddin terus mempunyai jadual tugas yang padat dan berat. Selesai sahaja pembentukan barisan Kabinet, beliau terus mengaktifkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menangani krisis COVID-19 secara lebih serius dan berkesan.

Ia adalah langkah penting bagi mengurangkan rantaian birokrasi panjang dan berlapis-lapis pada saat wabak sedang menular secara mendadak di seluruh negara. Dengan itu, MKN mempunyai keupayaan untuk mengambil langkah-langkah yang lebih agresif, efektif dan komprehensif bagi menangani penularan pandemik COVID-19.

Cubaan berpolitik pada musim bencana

Malangnya bagi sesetengah kepimpinan utama PH dan pendukung kuat mereka, menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baru berusia sebulan ini, tetap menjadi agenda utama mereka; yang paling ‘urgent’ dan paling ‘important’, walaupun pada ketika tempoh krisis kesihatan ini sedang memuncak.

Setiap langkah pencegahan dan inisiatif yang dikemukakan oleh Kerajaan bagi meringankan beban pelbagai lapisan masyarakat sentiasa mendapat komen sangat negatif daripada mereka.

Jika ada sedikit sokongan, ia disusuli dengan cadangan yang bersifat ‘over’ dan tidak munasabah disertai label-label yang kurang menyenangkan. Pendeknya pembangkang yang tidak konstruksi dan membantu mengatasi masalah.

Cadangan tidak praktikal

Yang paling tidak munasabah ialah cadangan YB Lim Kit Siang supaya Kerajaan melantik DS Dr. Dzulkefly Ahmad, mantan Menteri Kesihatan mengetuai pasukan khas menangani pandemik COVID-19.

“Majlis Presiden PH sedia menimbangkan permintaan Putrajaya bagi mematikan Dzulkefly dapat berkhidmat demi negara”, kata beliau.

Beliau sengaja menangguk di air yang keruh untuk merendahkan kemampuan Tan Sri Muhyiddin dan Kerajaan PN dalam menangani krisis dengan mengangkat nama DS Dr. Dzulkefly, satu-satunya Menteri yang masih boleh dibanggakan oleh PH. Cadangan yang pada zahirnya baik dan indah, tetapi batinnya dipenuhi helah dan muslihat.

Kerajaan baru mendepani krisis

Namun Tan Sri Muhyiddin telah bertindak lebih terkehadapan daripada cadangan Lim Kit Siang. Di mana, beliau menjadikan pengurusan COVID-19 di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN). Di mana beliau sendiri adalah Pengerusi MKN. Beliau mengangkat prioriti pengurusan krisis COVID-19 menjadi agenda utama Kerajaan dan negara pada ketika ini.

Bahkan beliau menggembleng seluruh kemampuan Kerajaan, agensi-agensi Kerajaan dan swasta untuk sama-sama mencari jalan bagi meringankan beban rakyat. Di mana kerjasama seluruh rakyat Malaysia adalah sangat penting dalam memastikan agenda menamatkan kitaran jangkitan virus COVID-19 dapat menjadi kenyataan.

Apa yang dibuat oleh YAB PM adalah sangat agresif dan pantas. Beliau menyatukan seluruh rakyat Malaysia. Sudah terdapat tanda awal langkah yang diambil pihak Kerajaan semakin membuahkan hasil, sebagaimana yang disebut oleh KP Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah kelmarin. Seorang lagi wira yang tidak diketengahkan kepada umum pada era PH.

Label-label negatif terhadap Kerajaan PN

Namun, pelbagai label negatif tetap diberikan kepada Kerajaan PN oleh pimpinan PH dan pendukung utama mereka. Antaranya ialah ‘Kerajaan pintu belakang’, ‘merampas mandat rakyat’, ‘tidak demokratik’, ‘bukan anak jantan’, ‘Kerajaan menipu SPB Yang Di Pertuan Agung’ dan banyak lagi.

Tujuannya untuk mengembalikan semula PH ke tampuk kuasa melalui Undi Tidak Percaya ataupun sekurang-kurangnya akan diadakan Pilihan Raya Umum semula.

Dakwaan ‘kerajaan pintu belakang’

Dakwaan ‘kerajaan pintu belakang’ adalah tuduhan yang paling kuat dimainkan oleh PH dan jenteranya. Sebenarnya tuduhan ini dibuat adalah untuk mengalihkan perhatian rakyat dan pendukung PH terhadap ‘kesilapan percaturan politik kepimpinan PH’ sendiri, dengan cara menyalahkan pihak lain.

Kesilapan utama mereka ialah cubaan berterusan ‘mendesak’ Tun Mahathir menyerahkan kuasa kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Selain itu, mereka gemar ‘bergaduh’ sesama sendiri sesama parti komponen dan di dalam parti sendiri demi kepentingan politik masing-masing, secara terbuka tanpa segan silu. Kebajikan rakyat menjadi terpinggir.

Tumbangnya Kerajaan PH secara demokratik

Akhirnya PH tumbang secara demokratik dengan keluarnya BERSATU daripada gabungan PH. Tun Mahathir selaku PM yang mewakili Kerajaan PH segera memahami keadaan itu, dan meletakkan jawatan sebagai PM Ke-7 secara sukarela.

Naiknya kerajaan baru secara demokratik dengan pengesahan SPB Yang di-Pertuan Agong

Bila Kerajaan PH telah tumbang, Malaysia perlu ada Kerajaan yang baru. Ada beberapa cadangan daripada Ahli-ahli Parlimen yang mewakili parti dan gabungan masing-masing mendakwa bahawa setiap mereka mempunyai sokongan majoriti.

Namun SPB Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengambil langkah pro aktif bagi memastikan kebenaran dakwaan setiap pihak mempunyai majoriti dengan cara SPB sendiri menemuduga setiap Ahli Parlimen bagi menentukan sokongan mereka.

Proses temuduga itu berlangsung secara berperingkat selama dua hari berakhir pada 26 Februari 2020. Pada 29 Februari, SPB Yang Di Pertuan Agong berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, sebagai Perdana Menteri ke-8.

Ini adalah sangat demokratik. Pengakuan setiap Ahli Parlimen sebagai tuan punya badan di hadapan SPB Yang Di Pertuan Agong adalah akuan yang lebih kuat daripada tandatangan SD.

Dakwaan ada pihak lain yang mempunyai majoriti

Peluang telah diberi secara adil kepada setiap Ahli Parlimen. Sokongan mereka telah direkodkan. Menukar sokongan setelah masa tamat, adalah seperti menyumbat gol setelah pengadil perlawanan telah meniup wisel penamat. Sepatutnya setiap pihak akur.

Peluang membuat Undi Tidak Percaya

Ya, masih ada ruang untuk pembangkang membuat usul ‘Undi Percaya’ atau usul ‘Tidak Percaya’ di Parlimen. Tetapi tunggulah sehingga sidang Parlimen akan datang. Sekarang musim bencana. Kita mesti bersatu ketika ini. Jika ada sidang Parlimen, sekali lagi rakyat akan terbelah dua atau tiga.

Penutup

Semua pihak mestilah bersama Kerajaan ketika ini. SPB Yang Di Pertuan Agong hendak memberikan peluang kepada Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin yang mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen menunjukkan kebolehan dan kemampuan mereka mentadbir negara sehingga sidang Parlimen nanti.

Jika mereka gagal mempertahankan majoriti di Parlimen nanti, ada kemungkinan mengadakan Pilihan Raya Umum tidak dapat dielakkan lagi. Namun pada pandangan saya Kerajaan yang baru berusia sebulan ini kelihatan lebih berkebolehan mentadbir negara berbanding Kerajaan PH yang telah mentadbir negara selama 22 bulan.

Ketika ini, barulah kita dapat merasakan negara kita benar-benar mempunyai Kerajaan yang berfungsi. Semoga ia berterusan.

ZAKARIA ISMAIL – HARAKAHDAILY 2/4/2020