Negara semakin pulih, tetapi perlu terus waspada

KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada kedudukan yang semakin baik dalam usaha mengekang pandemik COVID-19 berbanding negara lain ketika ini.

Advertisement

Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah bahkan dalam Twitter beliau menciap, ada tanda-tanda awal COVID-19 semakin pulih di negara ini.

Ia berdasarkan statistik terbaharu dikongsinya yang menunjukkan graf penurunan kes dihadapi negara berbanding daripada jangkaan pernah dikeluarkan.

Pun begitu sebagaimana juga peringatan banyak pihak, beliau menegaskan bahawa ia bergantung kepada rakyat Malaysia dalam tempoh dua minggu ini.

“Saya merayu kepada semua rakyat Malaysia teruskan patuhi arahan duduk di rumah dan amalkan langkah-langkah pencegahan dan kebersihan,” ujarnya.

Seruan beliau itu merujuk kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disamping kekal sihat dan selamat mengikut panduan untuk menghindari jangkitan.

Semalam, seramai 108 pesakit telah sembuh dari COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan discaj kepada 645 orang di mana ia merupakan jumlah teramai.

Kematian pula meragut dua nyawa lagi kepada jumlah 45 pesakit, manakala 145 kes baharu bertambah kepada jumlah kumulatif bagi negara kini 2,908 kes.

Pun begitu, ia bukan untuk rakyat merasa selesa, sebaliknya kewaspadaan serta pematuhan kepada arahan dan panduan berkaitan mesti perlu terus dipenuhi.

Kerana itu kerajaan terpaksa meningkatkan lagi penguatkuasaan di fasa kedua lanjutan PKP dari semalam hingga 14 April depan kerana kes-kes keingkaran masih berlaku.

Tindakan tegas perundangan telah dan sedang dihadapkan terhadap kesalahan pelanggaran ini bagi mengelakkan pelaku menjadi sebab penularan jangkitan merebak semula.

Ini juga bagi memastikan agar jaminan yang benar-benar selamat dapat diberikan kerajaan sebelum negara dapat kembali kepada keadaan sedia kala sepenuhnya. – HARAKAHDAILY 2/4/2020