PKP Fasa 2 penentu berjaya-gagal hadapi COVID-19

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerajaan ternyata menunjukkan keberkesanannya hasil kebersamaan semua pihak terlibat.

Advertisement

Kajian oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke atas 187,402 responden mendapati 99 peratus daripada mereka menyatakan status diri sebagai patuh kepada arahan itu.

Ia juga selaras jawapan daripada 184,592 responden yang menyatakan 83 peratus komuniti sekitar mereka mematuhi PKP dan terdapat 17 peratus ingkar.

Sekali gus, memberi petunjuk rakyat mempunyai pemahaman tinggi dan mahu memastikan PKP dilaksanakan dengan jaya, tetapi menolak sikap sebaliknya.

Bahkan, 84 peratus dari 200,047 bersedia menghadapi pelanjutan tempoh PKP hingga 14 April dan 96 peratus dari 230,562 pula setuju pihak berkuasa melaksanakan PKP 2 secara lebih tegas.

Walaupun gugatan yang sedang dihadapi ketika ini berisiko menggugat nyawa, namun kerajaan menerusi pihak keselamatan masih mengguna pendekatan mendidik.

Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah digembleng bersama.

Begitu juga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Selain Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan banyak lagi agensi yang terlibat tidak dapat disenaraikan semua di sini.

Bagi PKP Fasa 2 bermula 1 hingga 14 April, kerajaan memilih langkah pemantauan dan kawalan lebih ketat bersama peraturan yang lebih tegas.

Tujuannya ke arah menjamin penularan COVID-19 benar-benar dapat diputuskan dan dibendung sebaiknya untuk rakyat dan negara kembali seperti sedia kala.

Untuk itu rakyat masih punya ruang pergerakan tetapi dihadkan antara jam 8 pagi hingga 8 malam sahaja bagi semua urusan yang dibenarkan ke luar dari kediaman.

Had juga ditetapkan hanya sekitar lingkungan 10 kilometer dari rumah dan mesti bersedia dengan bukti selain kad pengenalan seperti bil air atau elektrik.

Waktu operasi premis-premis berkaitan juga hanya dibenarkan antara jam 8 pagi hingga 8 malam, tetapi berbeza dengan pengangkutan awam dan komersial.

Manakala premis dan aktiviti lain masih kekal tidak dibenarkan, selain kerajaan juga terus memastikan bekalan barangan makanan cukup di pasaran.

Ketika sama kerajaan menerusi beberapa agensi diketuai Jabatan Kebajikan dan Masyarakat terus memberi perhatian kepada rakyat yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 2/4/2020