PKPD: Sungai Lui sepi, kawalan ketat

HULU LANGAT: Jalan yang panjang dan berliku-liku untuk sampai ke sini tidak mengurangkan semangat petugas media dari Harakah untuk memberi liputan dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Hulu Langat di Kampung Sungai Lui pagi ini.

Advertisement

Kawalan anggota keselamatan yang terdiri dari polis dan Rela di laluan keluar masuk di Batu 21 amat ketat.

Cubaan seorang penduduk yang menaiki motosikal untuk keluar sebentar tadi, telah dihalang pihak bertugas.

Hanya petugas kesihatan dalam beberapa kenderaan di lihat dibenar melepasi sekatan jalan sedia ada.

Awal tadi sedikit kekeliruan berlaku apabila orang ramai yang cuba menghantar bahan keperluan kepada ahli keluarga yang terkesan telah diarah berpatah balik oleh seorang anggota Rela.

Namun kecekapan pegawai polis yang sedang melalui kawasan berkenaan telah cepat meleraikan keadaan.

Mana-mana orang awam yang mempunyai saudara mara di dalam kawasan PKPD adalah dibenarkan menghantar barang, tetapi hanya sehingga khemah yang ditetapkan berdekatan dengan pos pengawal bertugas.

Setelah barangan dihantar, haruslah keluar segera meninggalkan tersebut.

Saudara mara yang terjejas tidak dibenar bertemu dengan penghantar barangan, dan hanya boleh mengambil barangan tersebut selepas penghantar pulang untuk meminimakan risiko jangkitan.

PKPD di Kampung Sungai Lui bermula dari Batu 21 sehingga 23 itu melibatkan 3,918 orang termasuk dua perkampungan Orang Asli bermula 30 Mac sehingga 13 April. – HARAKAHDAILY 2/4/2020