UMMAH: Proham jangan pertikai tindakan PDRM

Anggota polis melakukan memeriksa setiap kenderaan keluar masuk di sepanjang sekatan jalan raya - foto Solahuddin Al-Idrus

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyelar Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) mempertikaikan tindakan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) menahan individu yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu.

Pengerusi UMMAH Mohd Zai Mustafa berkata, tindakan Proham mempertikai tindakan PDRM adalah tidak wajar serta dilihat tidak memahami dengan jelas tentang bidang kuasa dimiliki oleh PDRM.

Advertisement

“Proham perlu jelas bahawa perintah PKP tersebut dilaksanakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988 dan Akta Polis 1967.

“Di mana di bawah undang-undang tersebut, orang awam yang secara sengaja melanggar perintah tersebut boleh dikenakan hukuman penjara enam (6) bulan atau denda RM 1,000 akan dikenakan sekiranya orang awam disabitkan melanggar perintah tersebut,” kata Mohd Zai kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau menyifatkan lontaran Proham itu adalah cubaan meniupkan api provokasi kepada rakyat agar membantah tindakan PDRM tersebut.

Sedangkan katanya, tindakan tegas yang dilaksanakan oleh PDRM adalah amat diperlukan kerana isu Pandemik Covid-19 bukan hal remeh dan boleh dipandang ringan.

Tambahnya jika tidak dikawal dengan serius wabak berjangkit yang telah meragut puluhan nyawa akan menjadi krisis yang lebih besar dan lebih teruk kepada kemanusiaan dan negara.

“Rakyat perlu mengambil iktibar apa yang berlaku kepada negara Itali seperti dilaporkan media. Di mana, tanpa kawalan tegas dan ketat, akhirnya Pandemik Covid-19 telah menjadi krisis kemanusiaan dan hampir memusnahkan negara tersebut,” katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan Proham agar lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan atas nama memperjuangkan hak asasi manusia agar ia tidak bertentangan dengan niat dan usaha kerajaan mengekang penularan Covid-19.

“Tindakan paling wajar perlu dilakukan oleh Proham ketika ini ialah menyertai pihak kerajaan mendidik rakyat supaya patuh kepada undang-undang ketika PKP dijalankan.

“UMMAH sentiasa memberi sokongan atas arahan PKP dan meminta supaya pihak berkuasa bertindak lebih tegas atas individu yang sengaja melanggar arahan tersebut,” tegasnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Dato’ Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis akan meneruskan usaha mengetatkan PKP untuk mendapatkan kepatuhan sepenuhnya di seluruh negara.

Kata Acryl Sani, ini kerana masih ada orang yang enggan mematuhi perintah itu.

Di Kuala Lumpur sahaja, sebanyak 105 kertas siasatan telah dibuka berhubung kesalahan ingkar PKP sejak ia mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Seri Mazlan Lazim berkata seramai 194 orang terdiri daripada 127 rakyat tempatan dan 67 warga asing berusia 16 hingga 86 tahun telah ditangkap kerana melanggar PKP. – HARAKAHDAILY 2/4/2020