Jerebu rentas sempadan akan dibincang solusi bersama

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air akan membincangkan solusi dan mekanisme bersama dengan Indonesia berhubung pembakaran terbuka di negara itu yang memberi kesan langsung di Malaysia, iaitu jerebu.

Advertisement

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, tiada guna sekiranya terus menuding jari tanpa mencari jalan penyelesaian untuk menyelesaikan situasi tersebut.

Katanya, pihaknya kini sedang dalam rundingan dengan Indonesia berkenaan hal tersebut dan akan terus mencari solusi bersama setelah krisis wabak jangkitan Covid-19 pulih.

Beliau yakin antara solusi yang terbaik adalah dengan membantu Indonesia menangani hal ini, ia termasuklah menghulurkan bantuan untuk memadam kebakaran sekiranya ia berulang.

“Kita yakin dia (Indonesia) ada kaedah dia. Kedua, apa mekanisme yang kita buat untuk kita hentikan apabila negara negara jiran berlaku, sebagai contoh kita membantu untuk memadam.

“Cari jalan bagaimana untuk membantu, sebab kalau kita ‘blame‘ pun tak selesai masalah, ujarnya dalam satu sesi temubual Bual Bicara di Bernama, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, beliau juga yakin Indonesia juga mendapat kesan langsung akibat daripada pembakaran terbuka yang berlaku itu, dan apa yang dicari ketika ini adalah solusi bersama dengan negara-negara serantau lain bagi mengatasinya.

Beliau melihat kebakaran di Australia sebelum ini yang mendapat bantuan dari negara-negara lain dalam membantu Australia yang hangus teruk di Barat Laut Sydney. – HARAKAHDAILY 3/4/2020