Lantikan iktiraf peranan untuk Timur Tengah

timur

DEWAN Pemuda PAS Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ayahanda Presiden PAS kami, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang atas pelantikan sebagai Duta Khas YAB Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri.

Sebagai seorang tokoh yang pernah berperanan besar dalam sejarah politik dan beberapa kemelut di Timur Tengah, pelantikan ini adalah suatu pengiktirafan yang besar dalam perjuangan Tuan Guru menyatukan umat Islam di seluruh dunia.

Sebagai contoh, Tuan Guru pernah menjadi perunding krisis Yaman pada tahun 2010, penyelaras sekretariat bagi Parti-parti Islam Sedunia, menjadi wakil dan delegasi dalam persidangan Parti-parti Islam dalam menyelesaikan krisis Perang Teluk dan mengiringi pimpinan besar di negara-negara Islam dalam pertemuan bersama Setiausaha PBB. Dengan kebolehan dan keupayaan beliau, pastinya pelantikan ini akan membawa kedamaian dalam semua isu yang berkaitan kepentingan umat Islam di seluruh dunia.

Advertisement

Pelantikan ini juga mampu mengangkat Malaysia di mata dunia. Ia menggambarkan bahawa Malaysia yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberi suatu pengiktirafan kepada golongan ulamak muktabar untuk memimpin negara. Tambahan pula Tuan Guru adalah seorang yang berpengalaman sebagai mantan Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia yang amat dihormati dan disegani, serta hubungan baik beliau dengan ramai tokoh-tokoh ulamak di Timur Tengah, sudah pasti ia memberikan suatu kelebihan besar buat negara.

Sesungguhnya pemilihan Tuan Guru Presiden untuk mengisi jawatan tersebut adalah suatu pilihan yang amat tepat. Kami anak muda PAS bersedia untuk mencurah bakti kepada negara, bersama-sama barisan kepimpinan negara untuk mengangkat Islam sebagai agenda penting dalam pentadbiran.

Semoga pemilihan Tuan Guru Presiden dapat memberikan manfaat yang besar untuk agama dan negara. Siiru ala barakatillah.

“Tok Guru Kami”
“Ayah Chik Kami”
“Demi Islam”
“Islam Memimpin Perpaduan”

IR. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 3/4/2020