Pemilihan Tuan Guru sebagai Duta Khas amat tepat

PEMILIHAN Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah adalah tepat pada masanya.

Advertisement

Reputasinya di dunia Islam global bukanlah baru dan sangat piawai, mempunyai jaringan antarabangsa dengan pemimpin Arab dan bukan Arab.

Beliau banyak terlibat dengan usaha menanggani krisis antarabangsa terutama yang berlaku di rantau Arab serta mahir dalam geopolitik Asia Barat.

Pengumuman pelantikan oleh Pejabat Perdana Menteri Malaysia kelmarin seperti peluru yang menembusi dada para pembenci, serta merupakan suatu pengiktirafan yang besar kepada Tuan Guru Presiden PAS yang selama ini dimomokkan terpencil daripada arus perdana pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional.

Jawatan itu yang bertaraf Menteri, akan memberi ruang kepada Malaysia untuk mengambil manfaat daripada kekayaan minyak dan gas negara Asia Barat.

Usahasama dagangan komoditi seperti kelapa sawit dan lain-lain akan memicu kesegaran ekonomi kepada negara kita, bahkan memperluaskan Malaysia sebagai tarikan utama pelancongan dan pendidikan kepada negara Asia Barat.

Penulis berkeyakinan penuh akan kemampuan komunikasi serta relevansi Tuan Guru Abdul Hadi serta menganggap pelantikan ini sangat tepat memandangkan Tuan Guru Presiden PAS berpengalaman terlibat dengan politik negara-negara Asia Barat sejak zaman pengajian, memaknai pengalaman serta juga keterlibatan dalam politik Islam antarabangsa.

Sebagai tokoh kanan gerakan Islam dan mantan Naib Kesatuan Ulama Sedunia, jadual beliau begitu padat menyambangi seluruh belahan dunia Islam.

Bermesyuarat, mengisi program, menyantuni peta luka umat Islam serta menjadi tetamu pelbagai gerakan Islam. Sebahagian besar umurnya tercurah di medan dakwah dan perjuangan, walaupun umur semakin meningkat melepasi enam dekad.

Tuan Guru Haji Hadi dilahirkan pada 20 oktober 1947 di Kampung Rusila, sebuah perkampungan nelayan yang terletak berhampiran Bandar Marang, Terengganu.

Rusila semenjak awal abad 20 adalah pusat pengajian Islam di mana masyarakat Marang datang untuk belajar agama. Keluarga diRaja Terengganu juga datang bersolat di Masjid Rusila sehinggalah tahun 1957.

Tuan Guru Haji Hadi merupakan anak kelima daripada sembilan orang adik beradik dan dibesarkan dalam asuhan agama yang kuat daripada ayahnya sendiri.

Sebelum mengenali alam persekolahan, bapanya terlebih dahulu memperkenalkannya tentang ilmu. Tuan Guru Haji Hadi memasuki alam persekolahan pada tahun 1955 di Sekolah Kebangsaan Rusila dan mendapat pendidikan Menengah di Sekolah Agama Marang.

Beliau seterusnya belajar di Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin (SMUZA), sebuah sekolah agama tersohor di negeri Terengganu.

Semasa di alam persekolahan, beliau juga telah menunjukkan kecenderungan terhadap politik Islam.

Antara isu yang sedang menyelimuti Malaya ialah isu Konfrontasi Malaysia dengan Indonesia.

Bakat dan kecemerlangan akademiknya telah dikesan semenjak beliau di bangku persekolahan lagi di mana beliau ditawarkan dengan biasiswa Kerajaan Arab Saudi untuk menuntut di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Madinah.

Universiti Madinah antara universiti Islam terbaik dunia dan syarat kemasukannya sangat ketat. Antara yang pernah bersama Tuan Guru di Madinah ialah Dato Husien Awang, Ustaz Dato Harun Taib.

Kerajaan Saudi pada masa itu belum bermusuh dengan gerakan Ikhwanul Muslimin sebagaimana hari ini. Ramai sarjana serta tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin diberikan tempat untuk mengajar di bumi Ar-Rasul SAW.

Beliau mencicip ilmu di kampus dan juga para Masyaikh di Masjid Nabawi termasuk menganggotai usrah Ikhwanul Muslimin. Naqib beliau ialah Sheikh Said Hawwa, tokoh besar Ikhwanul Muslimin dari Syria.

Kepetahannya berbahasa Arab semasa menerang geopolitik Malaysia telah menarik tokoh Ikhwan menerima beliau sebahagian daripada mereka.

Beliau telah melanjutkan pengajiannya sehingga ke peringkat sarjana (MA) dalam bidang siyasah dan syariah di Universiti al- Azhar, Mesir dan tamat pengajian pada tahun 1976.

Beliau mengambil kesempatan belajar di luar negara dengan belajar berkitab dengan sheikh-sheikh terkenal di Madinah dan Mesir sehingga disegani oleh pelajar-pelajar Malaysia di negara tersebut.

Latar belakang Mesir sebagai pusat Ilmu dan juga latar belakang konflik regim dengan Ikhwanul Muslimin juga turut memberikan pengalaman berharga kepada beliau, juga bumi Madinah sebagai pertapakan negara Islam yang dipimpin oleh Nabi SAW telah menjiwai Abdul Hadi dengan citra perjuangan ‘membentuk pemerintahan Islam sebagai aqidah dan kaedah bernegara’.

Sekembalinya pada tahun 1976 daripada pemukiman ilmu, beliau telah dilantik sebagai Ketua pemuda PAS Terengganu. Dan beliau dilantik sebagai Ketua ABIM Terengganu.

Namun kelincahan beliau telah menenggelamkan fungsi beliau sebagai pengerusi ABIM Terengganu. Beliau pernah menjadi Exco Dewan Pemuda PAS yang paling aktif menggerakkan program kaderisasi kepada pelajar dalam dan luar negara. Pada tahun 1977, beliau dilantik sebagai AJK PAS Pusat.

Pengaruh beliau semakin membesar pada awal dekad 80an, mengatasi Dato Asri selaku Yang DiPertua PAS, gaya pidatonya telah memukau dan menyihir hadirin dengan kupasan isu yang diselaraskan dengan Ilmu Islam.

Tuan Guru Haji Hadi pernah menjadi tenaga pengajar di Institut Berakan Terengganu, yang merupakan pusat pendidikan swasta yang sangat popular di Pantai Timur bahkan menjadi tempat melahirkan kader dakwah serta markas pemuda dan belia di Terengganu.

Dan kemudiannya beliau sendiri telah mengasaskan Maahad Darul Quran dengan pemimpin PAS yang lain pada tahun 1985.

PAS melalui ulama muda seperti Tuan Guru Haji Hadi, telah menyusun skema pentarbiahannya kepada ahli-ahli parti.

Tuan Guru Haji Hadi bukan sahaja terlibat dengan aktif di pentas Politik dalam negara, bahkan juga di pentas antarabangsa. Beliau telah dilantik menjadi Naib Ketua Kesatuan Ulama Dunia Islam pada tahun 2014 di mana Dr Yusuf al Qardawi menjadi ketuanya.

Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada umat Islam di sebelah Asia Tenggara di mana pelbagai isu besar ummat sedang berlangsung.

Tuan Guru Haji Hadi adalah sebutir mutiara yang dilahirkan dari uri gerakan Islam tersohor dunia dan telah menjadi kader dakwah yang pintar, menyesuaikan iklim pentarbiyahan Timur Tengah yang diperoleh beliau dengan iklim dan budaya masyarakat negara ini.

Bermula dengan imej ulama muda dengan menggegarkan podium cermah, memecahkan PAS daripada perjuangan Islam-Melayu kepada PAS yang berdiri megah untuk semua kaum di negara ini.

Kini perjuangan PAS dengan kepimpinan ulamak telah melepasi 38 tahun dengan sarat segudang pengalaman yang pelbagai.

Tuan Guru mempunyai pandangan yang analitikal terhadap geopolitik Asia Barat, sehingga kadang menimbulkan perbedaan pandangan dengan tokoh Arab yang lain.

Lihat sahaja isu pertembungan sektarian di Syria, krisis di Yaman, Iraq, Palestin serta sikap Arab Saudi terhadap Qatar dan lain-lain isu Timur Tengah.

Pandangan beliau mendamaikan dan membumi, sejauh mungkin ingin mengelakkan negara -negara Arab daripada menjadi bidak catur kuasa hegemoni dunia,Amerika.

Semoga Malaysia mendapat banyak manfaat politik dan ekonomi dengan perlantikan Tuan Guru sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI) – HARAKAHDAILY 3/4/2020