Penambahbaikan akta kawal alam sekitar

KUALA LUMPUR: Semakan mengenai keperluan penambahbaikan Akta berkaitan Alam Sekitar akan dibuat bagi mengawal kesalahan kepada mereka yang mencemarkan alam sekitar.

Advertisement

Ia ekoran hukuman kompaun terhadap kesalahan mencemarkan alam sekitar setakat ini tidak memadai dan kurang memberi pengajaran kepada individu bersalah.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menjadikan perkara ini sebagai komitmen kepada beliau selaku menteri berkenaan.

“Sebab bila pencemaran itu kompaunnya rendah, hukumannya tidak menakutkan menyebabkan dia boleh ulang balik kesalahan yan sama.

“Kesan pencemaran itu besar, kadang-kadang kita habis berjuta ringgit untuk pulihkan semula, kemudian bila berlaku pencemaran air, berapa ribu mangsa terjejas kerana industri yang tidak ikut peraturan,” katanya.

Beliau dijemput sebagai tetamu undangan untuk membicarakan tajuk ‘Melestari Alam Sekitar’ dalam program Ruang Bicara dikendalikan oleh Sherkawi Jirim yang disiarkan secara langsung di Bernama TV sebentar tadi.

Tuan Ibrahim mengulas mengenai peranan kementeriannya mengendalikan situasi Covid-19 melibatkan sisa klinikal seperti sarung tangan, topeng muka, dan pakaian keselamatan petugas kesihatan dilupuskan mengikut SOP.

Selain itu, beliau juga menekankan dalam situasi Pandemik Covid-19 ini, kementeriannya menekankan kepentingan air bersih tidak terputus.

Justeru itu, beliau menggesa operator syarikat bekalan air sentiasa memastikan bekalan air tidak terputus dan segera bertindak memperbaiki kerosakan atau kebocoran paip untuk memastikan jutaan pengguna yang sedang mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak terjejas.

“Saya juga nak sebutkan tentang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara telah kita arahkan syarikat operator air ini supaya memastikan anti-klorin ditingkatkan.

“Kita tingkatkan sikit dengan 0.2 ppm kepada 0.5ppm dan ini selaras dengan panduan baharu yang ditetapkan oleh WHO.

“Saya fikir tujuannya ialah untuk memastikan rawatan air itu lebih baik dalam situasi begini,” tambah Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS dan Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Ulasnya lagi, kementerian telah bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti dari Belanda untuk melakukan kajian terhadap pembiakan virus korona dalam sistem pembentungan.

“Saya ucap terima kasih kepada UTM bagi mengenal pasti sejauh pembentungan kita ini selamat dan virus ini tidak boleh hidup dalam sistem pembentungan kita.

“Kita dah jalankan kajian terhadap itu, minggu depan kita mula ambil sampel-sampel di peringkat pembentungan dan Insha Allah kita akan dapat maklumat,” katanya.

HARAKAHDAILY 3/4/2020