Pengecualian caj RM1 keluar wang di ATM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan Malaysia memutuskan semua institusi perbankan akan mengecualikan caj RM1 setiap kali pengeluaran wang bagi mesin ATM.

Advertisement

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengecualian itu bermula pada 6 April ini (Isnin) sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melibatkan semua mesin ATM yang menggunakan rangkaian MEPS.

Hal ini katanya ramai pengguna bank masih menggunakan khidmat juruwang berikutan mesin ATM mengenakan caj RM1 setiap kali mengeluar duit.

“Oleh itu melalui Kementerian Kewangan, kerajaan memutuskan semua institusi perbankan dan pay net akan mengecualikan caj RM1 bagi setiap pengeluaran wang bagi semua mesin ATM yang menggunakan rangkaian MEPS.

“Ini bagi memberikan ruang dan kemudahan kepada rakyat supaya menggunakan mesin ATM yang disediakan dan tidak berpusu-pusu dalan bank,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan supaya dengan pengumuman ini orang ramai tidak pula berpusu-pusu ke mesin ATM dan perlu mengamalkan penjarakan sosial yang telah diarahkan.

Tambah Ismail lagi, rakyat digalakkan supaya menggunakan perkhidmatan perbankan atas talian dari sudut pengurusan pemindahan wang dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 3/4/2020