Perlekehan hukum agama ke atas mangsa COVID-19

Oleh mereka yang mengaku Islam tetapi bebal dan jahat

MUFTI Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, telah menyatakan pada 26 Mac 2020 bahawa umat Islam yang meninggal dunia akibat COVID-19 dianggap syahid akhirat kerana kematian mereka disebabkan mudarat akibat penularan wabak maut itu dan mereka yang meninggal dunia ini juga dihapuskan dosa kerana penyakit yang dihidapi itu adalah asbab Allah S.W.T untuk menghapuskan dosa seseorang.

Kenyataan berkenaan boleh dibaca di sini: https://www.hmetro.com.my/utama/2020/03/558855/meninggal-dunia-akibat-covid-19-syahid-akhirat

Advertisement

Laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan pula telah mengeluarkan satu artikel pada 27 Mac 2020 yang berbunyi:

“Kami menyimpulkan bahawa sesiapa yang meninggal dunia kerana wabak COVID-19 ini dianggap sebagai mati syahid sebagaimana yang telah difahami daripada Hadis-hadis yang sahih. Namun, syahid yang dimaksudkan di sini ialah syahid akhirat iaitu mendapat pahala syahid di hari akhirat kelak.”

Artikel berkenaan boleh dibaca di sini: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4384-irsyad-al-fatwa-siri-ke-473-adakah-mereka-yang-meninggal-dunia-kerana-covid-19-dianggap-mati-syahid

Ini diikuti oleh kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada 31 Mac 2020 bahawa orang Islam yang meninggal dunia akibat COVID-19 dianggap syahid akhirat dengan berkata:

“Syahid akhirat ialah mereka yang mati dalam menjalan tugas dengan tidak berperang, orang yang mati kerana wabak, penyakit taun sebagai contoh, wabak Corona pada hari ini atau COVID-19 di mana mereka menghadapi wabak ini setelah berikhtiar, berubat, sabar menghadapi ujian selepas itu dia mati itu syahid akhirat.”

Kenyataan berkenaan boleh dibaca di sini: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/03/31/mati-akibat-covid-19-syahid-akhirat-kata-hadi/

Peliknya bila Mufti Pahang dan laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan sesiapa yang meninggal dunia kerana wabak COVID-19 dianggap sebagai mati syahid akhirat tidak ada pun mana-mana pihak yang mempersoalkannya tetapi bila Presiden PAS menyatakan perkara yang sama ia terus menimbulkan kekecohan.

Bertalu-talu datang kritikan dan sindiran dari pelbagai pihak, termasuk sesetengah daripada mereka yang mengaku sebagai umat Islam, yang memperlekehkan hukum ke atas mereka yang meninggal dunia kerana wabak COVID-19 dengan menyebut kenyataan ini akan menggalakkan umat Islam menempah wabak COVID-19.

Begitupun, agak menarik bila antara yang terkehadapan di dalam membela Presiden PAS ini ialah orang bukan-Islam, khususnya:

(1) Dr Shamsher Singh Thind yang menulis pada 1 April 2020:

“Ada juga yang bukan-Islam nampaknya tak puas hati dan dok kutuk Tuan Guru Hadi Awang sebab beliau mengatakan bahawa orang Islam yang mati akibat COVID-19 dikira mati syahid akhirat. Saya nak tanya, hangpa faham atau tak maksud ucapan itu? Bukan Tuan Guru minta orang Islam pi lekat dengan Coronavirus dan selepas itu tunggu mati untuk masuk Syurga… Tuan Guru memberi semangat kepada orang-orang Islam agar tidak berputus asa melawan Coronavirus kerana usaha ini akan diiktiraf di akhirat nanti, walaupun jika mereka tewas. Simple kan?”

Tulisan Dr Shamsher Singh Thind yang sudah memperolehi lebih daripada 3,000 perkongsian berkenaan boleh dibaca di sini: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=2571167036431748&id=2151812461700543

(2) Ulasan Apek Cina yang menulis pada 2 April 2020:

“Tuan Guru sekadar menjelaskan Syahid Akhirat (yang berbeza dengan Syahid Dunia). Tuan Guru tidak pernah meminta untuk mati sebagai Syahid. Tuan Guru memberikan pengajaran sebegini untuk memberikan semangat kepada rakan-rakan Muslim yang berada di barisan hadapan, perwira-perwira bangsaku yang berdepan dengan kebarangkalian untuk terjangkit dan terkorban tiap-tiap hari. Tuan Guru juga memberikan pengajaran ini kepada pesakit-pesakit COVID-19 Muslim untuk melegakan mereka, dan kalaulah mereka terkorban, maka dengan hati yang tenang dan aman.”

Tulisan Ulasan Apek Cina yang sudah memperolehi lebih daripada 1,200 perkongsian berkenaan boleh dibaca di sini: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=1067737266921651&id=674810622880986

Jika orang bukan-Islam seperti Dr Shamsher Singh Thind dan Ulasan Apek Cina boleh memahami apa yang dinyatakan oleh Presiden PAS mahupun oleh Mufti Pahang dan oleh laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, mengapakah pula ada sesetengah daripada mereka yang mengaku sebagai umat Islam seolah-olah terlalu bebal untuk memahaminya dan seolah-olah terlalu jahat untuk memperlekehkannya?

Kepada mereka ini, elok dihadapkan soalan daripada sahabat saya, Dr Ahmad Sanusi Azmi, yang menulis pada hari ini:

“Apa yang disampaikan oleh TG Haji Hadi dalam kuliah beliau ini adalah bagi memberikan kata-kata semangat, motivasi bagi membina pemikiran yang positif kepada pesakit bahawa usaha melawan penyakit ini akan diberikan anugerah oleh Allah. Anehnya motivasi sebegini sukar difahami oleh sebahagian kita. Apabila Rasulullah menyampaikan Hadis ini sebagai satu ungkapan positif buat mereka yang berjuang melawan penyakit ta’un, apakah berani kita memerli dan mendakwa Rasulullah seolah Baginda menggalakkan mereka ini untuk mati?”

Tulisan Dr Ahmad Sanusi Azmi yang sudah memperolehi lebih daripada 1,100 perkongsian berkenaan boleh dibaca di sini: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=1140818606255264&id=630358917301238

Sehubungan itu, sebenarnya Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah diadakan di Pulse Grande Hotel, Putrajaya pada 15 Mac 2020 dan telah membuat keputusan mengenai hukum berkaitan penularan COVID-19 bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

Mengikut laporan, mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Datuk Wan Zahidi Wan Teh serta telah dihadiri oleh semua Mufti Negeri atau wakilnya, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri dan wakil Majlis Agama Islam Negeri.

Laporan tersebut juga memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sebagai berkata bahawa keputusan mesyuarat berkenaan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan serta Raja di negeri-negeri bagi mendapat perkenan untuk tindakan selanjutnya.

Bagi mengelakkan hukum agama ke atas mereka yang meninggal dunia kerana wabak COVID-19 ini terus diperlekehkan oleh sesetengah pihak, termasuk oleh sesetengah daripada mereka yang mengaku sebagai umat Islam, eloklah jika keputusan mesyuarat berkenaan dapat dipersembahkan, diumumkan dan diwartakan segera.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 3/4/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.